
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan secara menyeluruh.
Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, unit khusus peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah yang akan ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu kepada penglibatan golongan muda, komuniti serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat setempat.
Mengulas lanjut katanya, penglibatan golongan berkenaan mampu mengubah corak ekonomi negara pada masa akan datang dengan merancakkan pendigitalan ekonomi.
“Kita mengharapkan supaya golongan muda tidak melakukan hal sama yang berlaku ketika ini iaitu berada dalam kepompong kemiskinan.
“Dengan pemerkasaan digital ekonomi akan menjadi penggerak kepada ekonomi negara pada masa akan datang,” katanya dalam BizMalaysia, semalam.
BizMalaysia merupakan program anjuran RTM yang bersiaran secara langsung di TV1 setiap hari Khamis, jam 2 petang.
Anuar juga berkata, unit khusus membasmi isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat perlu dianggotai pembuat dasar yang terdiri daripada ahli-ahli akademik di bidang ekonomi, sosial serta yang bersesuaian.
Katanya, mereka perlu melihat secara menyeluruh isu rakyat serta komitmen daripada wakil komuniti untuk memberikan input bagi mencari titik penyelesaian.
Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan unit khusus peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat. – HARAKAHDAILY 1/10/2021




















