Tengkujuh: Perak peruntuk RM1 juta persediaan tampung bekalan ikan

Razman Zakaria
- Advertisement -

SUNGAI SIPUT: Kerajaan Perak memperuntukkan RM1 juta sebagai persediaan menampung bekalan ikan di negeri ini sekiranya berlaku kekurangan bekalan berkenaan pada musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata ketika ini terdapat lima pusat pengumpulan dan pengedaran ikan di Tanjung Tualang, Malim Nawar, Air Kuning, Senggang dan Labu Kubong yang mempunyai stok bekalan ikan dengan nilai transaksi RM1 juta atau 90.168 metrik tan.

- Advertisement -

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan bekalan makanan rakyat mencukupi pada musim tengkujuh.

Katanya langkah itu termasuk menggalakkan nelayan menyertai pembangunan akuakultur sebagai alternatif bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan yang tidak dapat turun ke laut dengan menjalankan aktiviti seperti ternakan ikan dan udang dalam sangkar, kolam serta tangki.

“LKIM membantu memberikan bantuan peralatan ternakan, makanan ternakan dan bekalan benih bagi meningkatkan pendapatan nelayan pada musim tengkujuh,” katanya yang ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Lasah di sini hari ini.

Selain itu, Razman berkata dua persatuan nelayan di bawah LKIM iaitu Persatuan Nelayan Kawasan Manjung Utara dan Persatuan Nelayan Negeri Perak turut memiliki kapasiti stok bekalan ikan sebanyak 15 metrik tan hingga bulan ini.

Beliau berkata stok bekalan itu tidak termasuk pengeluaran daripada aktiviti akuakultur yang dijangka turut menyumbang kepada stok bekalan ikan. – BERNAMA

- Advertisement -