Tolak cadangan jambatan ketiga, fokus ekonomi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS membantah cadangan pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu bagi menggantikan Projek Terowong Dasar Laut yang telah lama tidak dilaksanakan.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata cadangan itu adalah tidak masuk akal kerana rakyat akan berisiko mengalami lebih banyak kerugian.

- Advertisement -

Ini, katanya merujuk kepada rekod kelemahan pengurusan dan kredibiliti kerajaan negeri itu dalam mengurus projek mega.

“Hal ini dibuktikan apabila kos sebanyak RM305 juta akan dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut sedangkan projek tersebut telah tertangguh berikutan kes perbicaraan di mahkamah yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan projek ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, perkara itu menjadi petunjuk bahawa kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak kompeten dalam mengurus pembangunan projek mega tersebut.

Justeru, ujarnya kemajuan negeri terbantut disebabkan kegagalan itu.

Selain itu, tambah beliau kerajaan negeri seharusnya meneliti aspek persekitaran, ekonomi sosial dan lain-lain kesan sebelum meneruskan sebarang perancangan pembangunan negeri seumpama itu.

Oleh itu, katanya PAS menggesa supaya projek-projek mega yang merugikan rakyat seperti jambatan ketiga, terowong dasar laut dan PSR tidak dilaksanakan sebaliknya tumpuan dan fokus kepada pembangunan mampan dalam menghadapi era endemik, agenda pemulihan ekonomi dan pengawalan Covid-19 mestilah diutamakan. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -