
Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali berkata, Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) ditubuhkan bagi merancang, melaksana, seterusnya memantau segala pembangunan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, projek tambakan laut yang diluluskan sebelum ini sangat tidak terancang dan hanya tertumpu kepada projek tambakan laut semata-mata tanpa menyatakan bentuk pembangunan yang mahu dilaksanakan.
“Keadaan itu menyebabkan daripada 3,279 ekar kawasan yang ditambak, hanya 268 ekar atau lapan peratus sahaja telah dibangunkan.
“Selain itu penyediaan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya dan sistem saliran juga tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana pembangunan tambakan dilakukan oleh banyak pihak dan tiada agensi khusus yang menyelaras pembangunan di kawasan tersebut,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, keseluruhan pelaksanaan projek tambakan laut itu adalah secara Private Finance Initiative (PFI), atau Inisiatif Pembiayaan Swasta.
Katanya, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk pelaksanaan projek tambak laut tersebut.
“Malah, syarikat konsesi yang diluluskan dikehendaki membayar hampir RM13 juta untuk setiap 100 ekar kawasan tambakan yang diluluskan selain menyerahkan 1/5 daripada kawasan yang telah ditambak kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.
Tambah beliau, untuk tahun 2021 sahaja, setelah penubuhan M-WEZ, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM78 juta hasil daripada kelulusan tambakan laut.
“Jumlah ini dapat membantu kerajaan negeri untuk menampung kekurangan hasil lain akibat kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya amat yakin dengan salah satu peranan agensi Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka iaitu untuk memantau dan memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tambak laut akan dapat mengurangkan kegagalan pelaksanaan projek seperti yang berlaku di beberapa kawasan sebelum ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebooknya, di sini, hari ini, sebagai mengulas berkaitan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang sedang berlangsung ketika ini.
Dalam perkembangan sama, Rang Undang-undang (RUU) Penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) diluluskan di sidang DUN hari ini.
Seramai 16 ADUN menyokong dan 11 tidak menyokong RUU melalui undian dengan mengangkat tangan di dalam DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi, manakala seorang ADUN lagi tidak hadir.
Untuķ rekod, Koridor Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka ini secara rasminya dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 8 April lepas di hadapan kira-kira 500 jemputan kenamaan termasuk para pelabur dari dalam dan luar negara di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur. HARAKAHDAILY 22/9/2021




















