Terengganu taja 29 pelajar belajar di Jordan, UK

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 29 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mendapat tajaan kerajaan negeri bagi melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara tahun ini.

Pelajar terbabit akan melanjut pengajian ke Jordan dan United Kingdom (UK) dengan melibatkan tajaan lebih RM13.2 juta di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu.

- Advertisement -

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Dato’ Mohd Azmi Mohd Daham berkata, biasiswa itu membabitkan 10 pelajar perubatan dengan jumlah tanggungan RM7.9 juta.

Katanya setiap pelajar dibiayai RM790,000 sepanjang enam tahun pengajian.

“Manakala 14 pelajar bidang pengajian Islam menerima tanggungan RM1.9 juta untuk tempoh empat tahun iaitu RM133,000 setiap pelajar.

“Selain itu tiga pelajar pergigian melibatkan tajaan RM1.7 juta di mana setiap pelajar dibiayai RM560,000.

“Kesemua 27 pelajar itu bakal menyambung pengajian masing-masing di pelbagai universiti di Jordan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Manakala dua lagi pelajar akan melanjut pengajian ke United Kingdom, di mana seorang daripadanya menyambung pelajaran di Imperial College of London dalam bidang fizik.

Jumlah pembiayaan bagi pengajian terbabit sebanyak RM1.14 juta bagi tempoh empat tahun.

Seorang lagi pelajar bidang kejuruteraan mekanikal melanjut pengajian di Universiti of Manchester bagi tempoh 3 tahun dengan pembiayaan biasiswa RM630,000.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, 29 pelajar terbabit bertuah kerana terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Katanya pembiayaan itu boleh dianggap sebagai hadiah daripada kerajaan negeri.

“Tuntutlah ilmu sebaik mungkin, jaga diri agar tidak tidak terikut-ikut dengan budaya asing dan bawa imej Terengganu di mata dunia. Anda semua adalah wira dan bakal pemimpin pada masa akan datang,” katanya. – UPDI

- Advertisement -