
Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan agar membuat pertimbangan untuk Bajet 2022 bagi memperluaskan jaringan percukaian dalam strategi meningkatkan hasil percukaian negara, terutama dengan memperkenalkan banjaran baharu cukai pendapatan terhadap golongan 10 peratus terkaya (T10) iaitu jutawan yang berpendapatan melebihi RM1 juta.
Ketika ini golongan jutawan di Malaysia yang mempunyai pendapatan tahunan antara RM1 juta hingga RM2 juta dikenakan cukai pendapatan pada kadar 28 peratus, manakala kadar 30 peratus dikenakan bagi yang memiliki pendapatan tahunan mencecah RM2 juta dan ke atas.
“Cadangan adalah agar kerajaan menaikkan kadar tersebut sebanyak dua peratus menjadikan kadar cukai pendapatan bagi golongan jutawan dengan pendapatan tahunan antara RM1 juta hingga RM2 juta naik kepada 30 peratus.
“Sementara, bagi yang berpendapatan RM2 juta dan ke atas naik kepada 32 peratus, merupakan sesuatu yang diperlukan untuk Bajet 2022,” kata penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba kepada HarakahDaily.
Menurutnya, kenaikan cukai terhadap golongan kira-kira 690,000 isi rumah T10 itu kelak yang mampu mencecah jumlah RM200 juta boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan negara menerusi hasil percukaian.
“Hasil daripada kenaikan cukai pendapatan golongan isi rumah T10 itu sudah tentu boleh digunakan membantu golongan yang lebih memerlukan terutama bagi golongan isi rumah dengan pendapatan tahunan paling rendah, iaitu B40,” ujarnya.
Selain itu, kata Baayah, langkah memperluaskan jaringan cukai juga boleh dilakukan dengan menaikkan kadar cukai korporat termasuk memperkenalkan cukai keuntungan luar biasa atau windfall tax bagi sektor yang menjana keuntungan besar dan luar biasa sepanjang tempoh pandemik Covid-19, selain mengenakan cukai ke atas pegangan saham di Bursa Malaysia.

Menurutnya, semasa pandemik Covid-19 antara perniagaan yang mengaut keuntungan besar termasuklah sektor komoditi dan makanan sepertimana yang dinyatakan dalam laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengenai Covid-19.
Pertambahan pendapatan kepada kerajaan, katanya, dijangka mencecah RM2 bilion setahun, jika kenaikan cukai sebanyak 1.0 peratus dikenakan terhadap sektor yang mengaut keuntungan sepanjang pandemik Covid-19.
Sementara itu berkenaan pedagang saham yang tidak dikenakan cukai pula, perkara ini perlu diperhalusi.
Ia sebenarnya bergantung kepada pedagang saham yang sekiranya hanya membuat pelaburan secara pasif contohnya membeli dan memegang saham tersebut semata-mata bagi mendapatkan pulangan dividen, maka keuntungan hasil daripada jualan saham berkenaan tidak dikenakan cukai pendapatan.
Sebaliknya, sekiranya pedagang saham menjalankan aktiviti jual dan beli saham secara aktif dan terancang, maka ini dianggap sebagai menjalankan perniagaan jual beli saham (trading of shares) dan keuntungan atas jualan saham ini dikenakan cukai pendapatan sebagai keuntungan dari perniagaan.
Ini bermakna, sekiranya pelaburan tersebut menjana keuntungan yang berulang-ulang disebabkan wujudnya ciri-ciri perdagangan (badges of trade) maka keuntungan hasil dari aktiviti jual saham adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.
Mengenai windfall tax pula, ia pernah disarankan sebelum ini oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, banyak syarikat seperti pengeluar sarung tangan getah dan institusi kewangan meraih keuntungan luar biasa ketika pandemik melanda, namun masih membayar cukai pada kadar sama iaitu 26 peratus.
“Waktu darurat seperti ini kerajaan perlu mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan kerana perlu membantu golongan miskin untuk beri mereka pendapatan dan makanan.
“Maka dengan mengenakan windfall tax, kerajaan akan dapat mempertingkatkan hasil pendapatan untuk digunakan bagi mendepani krisis Covid-19, ” ujar Mahathir.

Terdahulu, Kenyataan Pra-Bajet (KPB) telah diterbitkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) buat pertama kalinya baru-baru ini sebagai gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil dan jangkaan kemudahan yang bakal diperoleh daripada Bajet 2022, bukan sahaja sebagai salah satu usaha penambahbaikan proses penyediaan bajet tahunan, tetapi agar ia lebih telus kepada pengetahuan rakyat.
Melalui KPB berkenaan, antara yang dipaparkan ialah strategi meningkatkan hasil percukaian termasuklah kerajaan sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai.
Antara cadangan dalam penelitian berkenaan termasuklah Pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program – SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang mana melalui program ini, pembayar cukai digalakkan untuk tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM. – HARAKAHDAILY 13/9/2021




















