
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru di Kuala Langat, menarik nafas lega dengan keputusan kerajaan Selangor yang akhirnya akur kepada desakan pelbagai pihak untuk membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli (KOA), Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Senin, berkata mereka berterima kasih kepada kerajaan Selangor kerana membuat keputusan terhadap hutan yang menjadi sebahagian hidup penduduk kampung.
Katanya, penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantah penyahwartaan hutan simpan itu.
“Terima kasih kepada rakyat Kuala Langat dan Malaysia serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) alam sekitar, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan tidak ketinggalan media massa yang menyokong dan mempertahankan HSKLU,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Samsul berkata, penduduk kampung juga gembira dengan keputusan memperuntukkan 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 537 hektar HSKLU untuk pemberian hak milik tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru.
Bagaimanapun, katanya isu penyahwartaan HSKLU patut membuka mata semua pihak mengenai status kampung Orang Asli yang belum diwartakan.
Katanya, masih banyak kampung Orang Asli belum diwartakan menyebabkan penduduk bimbang dengan status tanah yang menjadi tempat tinggal mereka.
“Saya harap kerajaan dapat mewartakan Kampung Orang Asli yang belum mendapat status itu. Pada masa sama berharap hutan di Selangor dan negara secara keseluruhan dipelihara dan dipulihara untuk kepentingan generasi akan datang,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan negeri mendengar suara rakyat apabila hendak melaksanakan sesuatu projek pembangunan.
“Jika ada sesuatu yang hendak dibuat seperti menyahwartakan hutan simpan, buatlah mengikut proses yang betul, jelas, beri maklumat awal, bebas dan telus. Dengarlah suara rakyat dan apa yang penting kepada penduduk tempatan,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri membatalkan keputusan penyahwartaan HSKLU yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), 5 Mei lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU dan menghentikan cadangan pelan pembangunan kawasan itu serta membatalkan pemberian hak milik tanah itu kepada syarikat terbabit. – HARAKAHDAILY 9/9/2021




















