Kerajaan baharu diharap utama budaya politik matang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) melahirkan kesal di mana krisis politik berlaku di negara ini dalam keadaan rakyat sedang berdepan keadaan yang tidak menentu.

Presidennya Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, dalam masa yang sama rakyat berada dalam kesusahan mengharungi kehidupan kesan daripada hilang pekerjaan.

Namun begitu katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah tidak lagi mempunyai banyak pilihan lain dan yang terbaik mengundur diri daripada menerajui kepimpinan negara.

- Advertisement -

Katanya, perletakan jawatan ini berlaku dalam keadaan negara sedang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Selain itu berusaha memulihkan keadaan ekonomi yang memberi impak kepada negara dan rakyat melalui inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sinar kejayaan telah mula kelihatan dengan penurunan kes serius dan pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan lebih meluas.

“Kami merasakan bahawa walaupun berat dipandang, rakyat Malaysia menghormati keputusan yang dibuat Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan di atas tekanan politik yang diterima.

“Ia berlaku apabila terdapat ahli-ahli parlimen yang menarik sokongan kepada beliau yang menyebabkan kehilangan majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri hari ini menghantar surat peletakan jawatan ketika mengadap Yang di-Pertuang Agong setelah kerajaan Perikatan Nasional hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

Dr Roslan juga berkata, dalam keadaan itu Muhyiddin menyerah kebijaksanaan baginda untuk melantik perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat, berasaskan undang-undang.

“Kami percaya dan yakin bahawa krisis ini akan dapat ditangani dengan baik apabila YDPA menggunakan kebijaksanaan baginda dan kuasa yang ada untuk melantik perdana menteri yang baharu.

“Apa yang kami harapkan adalah proses peralihan ini dapat berjalan dengan lancar. Kerajaan baharu akan dapat dilantik segera bagi meneruskan usaha-usaha dan perancangan untuk memulihkan negara melalui proses vaksinasi dan pembukaan kembali sektor ekonomi serta sektor-sektor lain,” ujarnya.

Menurutnya juga diharap kerajaan baharu meletakkan aspek integriti pada kedudukan yang penting dan menerajui negara berteraskan budaya politik yang matang dan sejahtera.

Di samping itu memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua.

“Sama-samalah kita membantu untuk mewujudkan sebuah negara yang baik dan mendapat pengampunan dari Ilahi berasaskan panduan Yang Maha Esa ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -