
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh menutup semua kilang-kilang yang ada sepanjang pandemik Covid-19 memandangkan sebahagian darinya merupakan elemen penting dalam memenuhi rantaian makanan dan keperluan rakyat.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, sebahagian kilang memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bahkan tidak terlibat sama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar.
Justeru itu, beliau merasakan adalah tidak adil untuk kerajaan menutup semua sektor kilang sedangkan masih banyak kilang mematuhi SOP yang ditetapkan.
“(Ada) kilang memenuhi SOP dan tidak termasuk dalam PKP bersasar. Jadi tak adil lah sebab mereka patuh elok segala pematuhan dan tiada jangkitan sehingga setakat ini, masih belum ada. Jadi kalau kita hendak tutup, tidak adil pada mereka.
“Tetapi kilang-kilang yang ada jangitan memang kita tutup. Iaitu kawasan-kawasan yang kita isytiharkan PKP bersasar. Tiada tolak ansur,” ujarnya dalam temubual Bicara Harakah berjudul Fakta atau Auta: Sektor Perkilangan Punca Kes Meningkat, semalam.
Justeru itu katanya, Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diberi kuasa untuk menentukan kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi.
“Jadi hendak salahkan MITI tidak boleh, sebab memang ada kilang yang tiada jangkitan langsung dan penempatan dijaga dengan elok.
“Sehingga hari ini masih banyak kilang yang tiada jangkitan kes melibatkan Covid-19 ini.
“Jadi, kita hendak tutup tidak boleh. Sebab mereka mematuhi, dan pekerja mereka daripada rumah ke tempat kerja pun, bas-bas yang disediakan juga tidak boleh duduk satu kerusi dua orang.
“Perjalanan dari rumah juga diaplikasi SOP. Pakai mask, bas sentiasa disanitasi. Jadi ini perkara-perkara yang kita dapati dan kita pastikan mereka patuh SOP,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/7/2021




















