
KUALA LUMPUR: Mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Selangor dianggap sebagai salah satu jalan keluar membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kaedah itu antara usaha untuk menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi negara.
Katanya, ia juga mengambil kira perkembangan ekonomi di negara-negara lain di dunia setelah mereka melaksanakan vaksin secara besar-besaran.

“Sebagai contoh ekonomi Amerika Syarikat sekarang berkembang kepada 6.4 peratus, manakala China pula melonjak sehingga 18.3 peratus pada suku tahun pertama tahun ini,” katanya di sini.
Selangor sehingga sekarang masih lagi mendahului negeri-negeri lain dengan kes harian Covid-19 paling tinggi di negara ini, di mana semalam dicatat 4,277 kes daripada 9,353 kes kes baharu.
Bilangan kes kumulatif di Selangor sehingga semalam sebanyak 281,670 jauh mengatasi negeri-negeri lain.
Sedangkan pada Julai tahun lepas Selangor dilapor memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negeri itu.
Malah pada Mac 2020 Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) meluluskan serta merta penubuhan pasukan khas atau Task Force Covid-19 bertujuan memantau sebarang perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.
Pasukan khas itu dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dibantu anggota Exco kerajaan negeri Dr Siti Mariah Mahmud.
Task Force tersebut juga menurut Menteri Besar Selangor disertai Dato’ Dr Christopher Lee Kwok Choong, Dato’ Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Dato’ Dr Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.
Dan baru-baru ini Dato’ Seri Amirudin Shari mengesyorkan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk langkah-langkah penutupan sektor ekonomi dan industri.
Selain itu kerajaan negeri turut mencadangkan vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi yang dipilih sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.
Pada akhir Jun lepas proses vaksinasi di Selangor dikatakan agak lembap apabila hanya mencapai kadar bawah 80 peratus berbanding negeri-negeri lain.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilapor berkata, Selangor menerima sebanyak lebih 1.36 juta dos vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca sehingga 27 Jun lepas.
Beliau turut mencadangkan Selangor mempercepatkan kapasiti penggunaan vaksin dan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Ini berikutan usaha di Selangor agak lembap walaupun ada vaksin namun vaksin banyak tidak digunakan,” kata Khairy selepas merasmikan PPV Tanjong Karang 27 Jun lepas.
Beliau turut menafikan dakwaan Exco Selangor kerajaan pusat tidak menghantar vaksin ke negeri itu.
Dr Anuar Shah berkata, cadangan penutupan ekonomi dan industri ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor adalah langkah-langkah khas bagi pilihan peningkatan kes penggunaan Covid-19.
Katanya, langkah itu bertepatan dengan keadaan yang diperlukan iaitu sekatan pergerakan untuk memutuskan rantaian Covid-19. – HARAKAHDAILY 11/7/2021




















