Kenakan tindakan undang-undang atas Tommy Thomas

- Advertisement -

PEMUDA PAS dikejutkan dengan penerbitan sebuah buku penulisan bekas Peguam Negara era Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story : Justice In Wilderness’ yang memperincikan ‘peristiwa’ hitam sepanjang karier beliau sebagai peguam dan Peguam Negara.

Pemuda PAS meneliti beberapa tulisan yang terkandung di dalam buku setebal lebih 500 muka surat tersebut dan berpendapat bahawa kandungan dalam buku ini wajar dipertimbangkan untuk diharamkan penerbitannya.

- Advertisement -

Justifikasi Pemuda PAS adalah atas perincian berikut:

(a) Terdapat unsur penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, apabila penulis seolah mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu berkenaan pelantikan beliau dan kemampuan Baginda untuk membuat keputusan dalam pelantikan Peguam Negara.

(b) Tulisan beliau menggambarkan bahawa terdapat manipulasi kotor yang sedang berlegar dalam Institusi Kehakiman dan Perundangan, yang akan menyebabkan keraguan yang tinggi oleh rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia.

(c) Tuduhan-tuduhan melampau terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang mana segala tuduhan ini datangnya daripada bekas Peguam Negara, bukannya peguam biasa.

(d) Menimbulkan kembali keraguan terhadap peristiwa hitam 13 Mei yang mengorbankan ratusan nyawa akibat daripada rusuhan kaum, dan menuduh beberapa individu menjadi dalang daripada peristiwa ini tanpa bukti yang sahih.

Pemuda PAS berpendapat bahawa penerbitan buku ini boleh menjadi akibat yang buruk jika ianya berada di pasaran dan dibaca oleh masyarakat yang tidak arif berkenaan sistem perundangan negara. Justeru, Pemuda PAS mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik penerbitan cetakan buku ini dan mengharamkannya daripada diterbitkan atau disebarkan, serta mengenakan hukuman yang berat bagi sesiapa yang berniat untuk menyebar dan menerbitkan buku yang sarat dengan kebencian ini.

Pemuda PAS turut mencadangkan supaya Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Tommy Thomas semasa perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara ditarik balik atas perbuatan tulisan yang sarat dengan tohmahan dan fitnah kepada Institusi Diraja dan Institusi Kehakiman dan Perundangan di negara kita. 

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/2/2021

- Advertisement -