PN menang PRK Sungai Bakap: Rakyat mula sedar…

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menjanjikan masa depan politik yang cerah dan positif kepada Malaysia.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Halimah Ali, berkata Abidin menang dengan majoriti besar 4,276 undi bukan sekadar diterima rakyat pengundi Melayu, bahkan anak muda bukan Melayu juga sudah mula terbuka memberi keyakinan kepada PAS 

- Advertisement -

“Ternyata kestabilan politik dan ekonomi sesungguhnya mestilah berakar umbi daripada sokongan padu semua kaum terbesar dalam negara. 

“Sungai Bakap membuktikan politik rasis dan ekstrem tidak lagi mendapat tempat dan sebaliknya rakyat berbilang kaum mula terbuka untuk politik penyatuan nasional. 

“Politik yang ditunjangi umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar dalam negara dengan sokongan padu kaum-kaum lain termasuklah Cina dan India dalam suasana harmoni dan saling hormat-menghormati,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar, turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi di Sungai Bakap khususnya kepada pengundi bukan Melayu yang mula menerima perjuangan PN.

Kemenangan Abidin pada PRK Sungai Bakap adalah hasil sokongan warga DUN tersebut yang berbilang bangsa yang membuktikan perjuangan PN dalam menjuarai isu rakyat.

“Mereka tidak lagi terpengaruh dengan adu domba dan hasutan yang sebenarnya gagal serta tidak berupaya menguruskan nasib rakyat sebagaimana yang diharapkan.

“Rakyat mula sedar bahawa negara sebenarnya memerlukan pimpinan berintegriti dan bertakwa yang sanggup dan berupaya berjuang untuk rakyat tanpa mengira kaum atau agama,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perpaduan Negara PN berkata, masa depan politik Malaysia cerah dan rakyat dapat hidup sejahtera, bersatu, aman dan damai untuk mendukung perjuangan kepentingan rakyat di hadapan.

“Bukannya (calon) yang ghairah menabur janji dan memberi harapan palsu semata-mata kerana tamakkan kuasa dan agenda peribadi. Syabas para pengundi di Sungai Bakap.

“PAS ingin menghulurkan tangan persahabatan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum demi sama-sama memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara tercinta ini atas semangat kemenangan calon rakyat di Sungai Bakap,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -