KIRA-kira 31,000 rakyat Malaysia yang telah menyempurnakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah pulang ke tanah air secara berperingkat bermula sejak 25 Jun yang lalu.
Setelah menyempurnakan Rukun Islam kelima, mereka akan membawa gelaran Haji atau Hajah sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap pencapaian spiritual mereka. Gelaran ini bukan sekadar simbol, malah membawa bersama tanggungjawab dan harapan baharu dalam kehidupan seharian.
Gelaran ini mengingatkan mereka akan janji dan ikrar yang telah dibuat semasa di Tanah Suci untuk menjadi muslim yang lebih baik. Agar terus istiqamah dengan ibadah kepada Allah SWT, terdapat beberapa amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci berdasarkan nas dan amalan para salaf.
Berpegang kepada Akidah yang benar dan menjauhi syirik dan khurafat
Akidah yang benar adalah mengikut apa yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan salafussoleh. Masalah umat Islam terbesar hari ini ialah mereka mengaku beriman tetapi mencampur-adukkan iman mereka dengan kepincangan syirik dan khurafat serta perkara yang karut-marut.
Tidak wajar sesudah selesai ibadah haji, kita masih berada di takuk lama. Masih lagi percaya kepada perkara tahyul, kepercayaan karut yang tidak berasas dan lebih teruk jika kekal mensyirikkan Allah SWT. Oleh itu, segeralah bertaubat nasuha dengan memurnikan tekad agar tidak mengulangi aspek-aspek mensyirikkan Allah dalam kehidupan.
Iltizam dengan solat berjemaah dan solat sunat/witir
Menjaga solat lima waktu secara berjemaah di surau dan masjid, sebagaimana kita konsisten berjemaah mengejar pahala 100,000 solat di Masjidilharam. Solat berjemaah di surau dan masjid mampu menjana bateri rohani orang beriman. Teruskan rutin ini selepas pulang sehingga kita dijemput Allah SWT.
Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang mendengar azan lalu tidak menghadiri solat jamaah, maka seolah-olah tiada solat baginya kecuali jika uzur (ketakutan atau sakit).” Hadis Riwayat Ibnu Majah.
Sabda Nabi SAW: “Solat berjemaah lebih afdal dari solat secara bersendirian sebanyak 27 darjat.” Hadis Riwayat Muslim
Melazimi pakaian takwa dan patuh syariah
Tiada lagi alasan untuk kita meninggalkan pakaian takwa dari tubuh kita. Kepada para hajah terutamanya, mulakanlah dengan melihat deretan dan lipatan baju yang ada dalam koleksi.
Periksa sama ada patuh syariah atau tidak. Jangan lagi berhias dengan tabarruj jahiliah. Inilah bukti mabrurnya haji yang dilakukan. Bagi merealisasikan usaha ini, semua pergaulan bebas dan gambar tidak lulus syariah dalam media sosial wajib segera dihapuskan.
Bersahabat dengan al-Quran
Berdamping dengan al-Quran seumur hidup kerana ia adalah tali penghubung antara kita dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ia juga menjadi penolong setia kita di akhirat kelak. (Sahih Muslim, 1337).
Alhamdulillah dengan kekuatan, keazaman dan usaha giat jemaah haji, ramai yang dapat mengkhatamkan al-Quran sepanjang tempoh berada di Makkah al-Mukarramah. Tanamkan azam dalam diri agar melazimi dan terus bersahabat dengan al-Quran setelah pulang ke tanah air.
Cintakan ilmu dan melazimi majlis ilmu
Pada hari ini ilmu mudah didapati di mana-mana dan terlalu mudah diakses dengan hanya menggunakan jari. Namun, ilmu yang paling penting adalah ilmu yang menyelamatkan kita dalam dua kehidupan, dunia dan akhirat.
Ia merupakan satu tugas dan kewajipan yang sentiasa berjalan bermula dari hari kelahiran hingga detik kematian. Sentiasalah kita berdoa agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang membawa laknat. Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 114: “Katakanlah, wahai Tuhanku tambahkanlah kepadaku akan ilmu pengetahuan.”
Halal haram dalam kewangan dan muamalat
Hindari riba sejauh mungkin kerana ia antara wasiat utama khutbah wada’ Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 278-279: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah segala bentuk riba jika benar kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukannya, sesungguhnya kamu telah mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan RasulNya. Jika kamu bertaubat, maka ambillah modalnya (pokok harta tersebut) dan kamu tidak menzalimi dan dizalimi.”
Dampingi dengan orang soleh
Bersahabat terutama sekali kaki masjid dan surau kerana mereka adalah sahabat malaikat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya bagi masjid itu ada ‘tiang serinya’, mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (semasjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka.” Hadis riwayat: Mustadrak al-Hakim, 3466
Sentiasa berdoa agar ditetapkan hati atas iman dan amal soleh
Selepas pulang, jemaah haji jangan mengharap bertukar menjadi malaikat. Ia mustahil kerana kita tetap terdedah kepada salah dan silap. Oleh itu, disarankan agar sentiasa memohon doa kepada Allah SWT agar ditetapkan iman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Aali-Imran, ayat 8: Ya Allah, Yang Berkuasa membolak balikkan hati, tetapkan hatiku dalam agama-Mu.
Jika berasa lesu daripada kebaikan, carilah panduan atau teman yang boleh memugarkan kembali kesolehan dalam diri sebagaimana kebiasaan sahabat Rasulullah yang saling mengingatkan sesama mereka ketika bertemu.
Oleh itu, diharapkan seseorang yang telah bergelar haji atau hajah dapat menunjukkan peningkatan dalam ketaatan beragama kepada Allah SWT. Semoga Allah menerima segala amalan kebajikan kita dan menjadikan kita semua dari kalangan hamba-hambanya yang beroleh nikmat, rahmat dan kemenangan dari kalangan orang-orang yang soleh. – HARAKAHDAILY 28/6/2024