Program Dapur Hijau tarik minat golongan wanita

- Advertisement -

GUA MUSANG: Program Dapur Hijau yang dilaksana bermula pada 2015 berjaya menarik perhatian golongan wanita di Kelantan sehingga mereka mengusahakan aktiviti pertanian bagi menampung perbelanjaan keluarga.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, seramai 42 wanita yang terdiri daripada suri rumah, armalah, golongan asnaf dan beliawanis menerima Anugerah Pertanian Dapur Hijau 2023, baru-baru ini.

“Jumlah itu perlu ditingkatkan kerana terbukti bertani mampu menjana pendapatan keluarga,” katanya ketika merasmikan Program Dapur Hijau Parlimen Gua Musang di Pusat Khidmat DUN Paloh, dekat sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Dato’ Shaari Mat Hussain, Pengerusi Majlis Tindakan DUN Paloh, Azman Ahmad dan Penyelia DUN Galas, Mohd Tarmizi Abd Rahman.

Turut hadir Penolong Pengurus Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB), Mohd Afzanizan Arif, wakil Jabatan Pertanian Kelantan dan penghulu-penghulu mukim. 

Sempena program itu seramai 120 suri rumah, golongan asnaf, armalah dan beliawanis menerima Bantuan Pemula Bertani berupa kit pertanian.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, Program Dapur Hijau yang diperkenalkan sejak 10 tahun bermula dengan 10 peserta, kini berkembang ke seluruh Kelantan.

“Semoga pelancaran Dapur Hijau kali dapat memberi peluang kepada lebih ramai lagi golongan wanita dan muslimat menceburi bidang pertanian,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -