Lebih 1.8 juta umat Islam tunai haji

Lebih 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji tahun ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Srihayanis Abasri)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji tahun ini.

Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi dilaporkan sebagai berkata, daripada jumlah itu sebanyak 958,137 jemaah terdiri daripada lelaki, manakala 875,027 adalah jemaah wanita.

“Jumlah jemaah haji luar ialah sebanyak 1,611,310 manakala jemaah tempatan 221,854 orang.

- Advertisement -

“Peratusan jemaah haji dari Asia tidak termasuk negara Arab mewakili 63.3 peratus, negara Arab (22.3 peratus), negara Afrika (11.3 peratus), manakala Eropah, Amerika Utara, Selatan dan Australia (3.2 peratus),” katanya.

Statistik itu menunjukkan jumlah ketibaan jemaah haji tertinggi adalah melalui lapangan terbang dengan 1,546,345 orang diikuti darat (60,251) dan pelabuhan (4,714).

Sementara itu, jumlah jemaah haji yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Laluan Makkah pada musim haji tahun ini ialah sebanyak 322,901 orang.

Beliau berkata, antara objektif pengumpulan data terperinci ini adalah bagi menyokong pembuat keputusan dalam mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji.

“Statistik ini menyumbang kepada penilaian perkhidmatan disediakan oleh entiti yang bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepada jemaah haji,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -