Taufan Al-Aqsa dan penyatuan ummah

- Advertisement -

KESEMUA mazhab aqidah yang terdiri daripada kalangan Ahli al-Qiblah sama ada Sunni, Syiah, mahupun Ibadi telah bersepakat bahawa jihad ialah suatu kewajipan ke atas penduduk negeri Islam yang diceroboh dan negara-negara yang berjiran dengannya. Jika musuh menyerang melepasi sempadan negara dan lebih jauh ke tanah air yang terdapat tempat-tempat suci bagi umat Islam, bahayanya lebih besar dan kewajipan mempertahankannya juga lebih besar. Namun orang-orang yang lemah iman mereka, orang-orang yang jahil, dan orang-orang munafiq akan memandang remeh akan perkara ini.

Teknologi moden telah mengubah lakaran sejarah dalam bentuk hubungan antarabangsa yang telah menjadikan negara-negara tanpa sempadan, begitu juga dalam hal ehwal peperangan, politik, ekonomi, dan media. Kini, setiap orang perlu memainkan peranan dalam medan ini dan terlibat secara fizikal dan rohani, terutamanya dalam menghadapi kekejaman perang dan pencerobohan yang memilukan serta tidak membezakan antara sasaran tentera dengan masyarakat awam, di samping meranapkan masjid, gereja, sekolah, dan hospital, termasuk pembunuhan kanak-kanak, wanita, dan orang tua.

- Advertisement -

Semua itu dilakukan dengan propaganda demi menjaga keselamatan negara Israel dan kesejahteraan warganya yang zalim. Hal ini telah dibuktikan melalui firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥ وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ ٢٠٦ وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡرِي نَفۡسَهُ ٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ رَءُوفُۢ بِٱلۡعِبَادِ ٢٠٧
“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa-apa yang ada dalam hatinya, padahal ia merupakan orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204) Kemudian, apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (205) Dan apabila dikatakan kepadanya, ‘Bertaqwalah engkau kepada Allah,’ timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu, padanlah ia (menerima balasan azab) Neraka Jahannam, dan demi sesungguhnya, (Neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal. (206) Dan antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat Belas Kasihan akan hamba-hamba-Nya. (207)” [Surah al-Baqarah: 204–207]

Terdapat perbezaan antara berjihad menegakkan agama Allah dengan melakukan kerosakan di muka bumi sebagaimana tindakan orang-orang yang dimurkai oleh Allah.

Taufan al-Aqsa yang dicetuskan oleh Hamas di Gaza dan disertai oleh kumpulan jihad seperti Hizbullah dan Ansarullah, gerakan-gerakan Islam, beberapa orang pemimpin daripada negara-negara Islam, dan majoriti rakyat daripada kalangan umat Islam. Mereka hanya melaksanakan kewajipan besar ini untuk melaksanakan perintah jihad dalam batas-batas yang ditentukan Allah SWT. Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya, Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” [Surah al-Baqarah: 190]

Pejuang-pejuang Islam hanya menyasarkan pihak tentera musuh dan tidak melebihi had ketetapan syariat yang adil dalam melaksanakan operasi ketenteraan mereka. Perkara ini disebarkan oleh media massa di serata dunia sehingga masyarakat dunia mula menolak Zionis dan demonstrasi mula meledak di seluruh dunia.

Taufan al-Aqsa ini ialah percikan api daripada ledakan perjuangan yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah SAW, insan yang tidak berbicara mengikut nafsu nafsunya:

لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.” قالوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قال: “بِبَيْتِ المَقدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ المَقْدِس
“Akan sentiasa ada suatu golongan daripada kalangan umatku yang mempertahankan agama dan bersikap keras terhadap musuh mereka. Orang yang menyanggah mereka tidak boleh memberi mereka kemudaratan melainkan hanya mereka ditimpa kesakitan. Sehinggalah datang ketentuan Allah, sedang mereka masih tetap dalam keadaan begitu.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Baginda menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]

Dalam satu riwayat yang lain, sabda Nabi SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، أَوْ خَالَفَهُمْ ‌حَتَّى ‌يَأْتِيَ ‌أَمْرُ ‌اللهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ
“Akan sentiasa ada suatu golongan daripada umatku yang bangun mempertahankan perintah Allah (yang hak). Orang-orang yang mensia-siakan mereka atau yang menyanggah mereka tidak boleh memberi mereka kemudaratan sehinggalah datang ketentuan Allah (Hari Kiamat) dalam keadaan mereka terus berjuang dalam kalangan manusia.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, No. 3641, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1037, daripada Mu‘awiyah bin Abi Sufyan. Lafaz bagi Muslim]

Kita umat Islam menghadapi cabaran masa kini dan melihat mukjizat yang kekal abadi dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ ي يَـٰٓأَهۡلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسْتَـْٔذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣ وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَيۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُواْ ٱلۡفِتۡنَةَ لَأٓتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُواْ بِهَآ إِلَّا يَسِيرٗا ١٤ وَلَقَدۡ كَانُواْ عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ مِن قَبۡلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلۡأَدۡبَٰرَۚ وَكَانَ عَهۡدُ ٱللَّهِ مَسۡـُٔولًا ١٥
“Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah ni‘mat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (daripada malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya! Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa-apa yang kamu lakukan. (9) Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10) Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman serta digoncangkan perasaan dan pendirian mereka dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafiq serta orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.’ (12) Dan juga masa itu ialah masa segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu, baliklah!’ Dan sebahagian daripada mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami memerlukan perlindungan,’ padahal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (daripada berjuang menegakkan Islam). (13) Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. (14) Padahal sesungguhnya, mereka telah pun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). (15)” [Surah al-Ahzab: 9–15]

Firman Allah SWT lagi:

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا ٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣
“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa-apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.’ Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22) Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka, antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antara mereka ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun. (23)” [Surah al-Ahzab: 22–23]

Walaupun sebab turunnya ayat-ayat dalam peperangan yang pertama (Badar) ini sudah berabad-abad yang lalu, pengajarannya yang bersifat umum masih boleh diambil, bukan secara khusus dengan sebab ayat itu diturunkan. Hal ini demikian kerana, al-Quran ialah kitab petunjuk dan bukan hanya membawa kisah yang terhad.

Penaklukan Palestin, Bait al-Maqdis, dan wilayah sekitarnya oleh pakatan musuh bermula daripada kejatuhan khilafah sehingga peristiwa Nakbah (14–15 Mei 1948), penubuhan negara Israel melalui peranan kuasa besar dengan Zionis Yahudi, Tentera Salib, dan sekutu-sekutu mereka. Kerajaan-kerajaan yang dibentuk hasil Perjanjian Sykes-Picot adalah bagi membalas jasa pemimpin dan raja yang berperanan dalam menjatuhkan khilafah kira-kira 100 tahun yang lalu.

Peranan nasionalis, patriotis, dan sekularis daripada kalangan mereka yang sebahasa dengan kita turut membantu dalam menggulingkan khilafah dan menjadikan tarikh kejatuhan itu sebagai hari perayaan kebangsaan. Mereka menjadikan negara Turki ‘Uthmaniyyah sebagai musuh. Negara-negara kolonial memberikan kuasa kepada orang-orang tertentu yang memainkan peranan menjatuhkan khilafah yang diruntuhkan lebih kurang 100 tahun yang lalu.

Kemudian mereka menukar dengan politik normalisasi yang mengeluarkannya daripada barisan umat Islam yang masih berada di atas jalan jihad yang masih tetap tertegak, terutamanya di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.

Jihad di Palestin, Bait al-Maqdis, dan wilayah sekitarnya telah bermula sejak awal pendudukan Yahudi sehingga fasa kebangkitan Intifadah dan seterusnya Taufan al-Aqsa, lalu gerakan-gerakan perjuangan Islam dan umatnya telah bangkit berdiri di sekelilingnya memberikan sokongan. Walaupun pada realitinya, banyak lagi orang Islam dan negara Arab mengambil pendirian yang berbeza, kecuali segolongan daripada mereka.

Itulah golongan yang dijanjikan Allah SWT dalam kitab-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَكُمۡ هُزُوٗا وَلَعِبٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِيَآءَۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٥٧
“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang berpaling tadah daripada agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasih akan mereka dan mereka juga kasih akan Dia! Mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh di jalan Allah, serta mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu ialah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya. (54) Sesungguhnya, Penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55) Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya, golongan (yang berpegang kepada agama) Allah itulah yang tetap menang. (56) Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir Musyrik itu – menjadi penolong-penolong! Dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. (57)” [Surah al-Ma’idah: 54–57]

Sesungguhnya, dasar penjajah Zionis dan Tentera Salib serta rancangan mereka untuk menghapuskan dunia Islam telah gagal dan tumbang walaupun terdapat juga kerajaan yang zalim menghalang manusia dari jalan Allah. Namun, penyebaran agama Allah dan dakwah masih berterusan selagi adanya malam dan siang. Gerakan jihad terus tidak berhenti, menepati janji Allah SWT, Tuhan yang tidak memungkiri janji melalui firman-Nya:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔوا نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍۢ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّـٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (akan yang demikian). (8) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukai. (9) Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu. Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta menempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. (12) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (13)” [Surah al-Saff: 8–13]

Taufan al-Aqsa telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan umat Islam dan kesatuan dari segi kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Melampaunya Zionis dalam melakukan serangan, pembunuhan, dan kemusnahan telah menyebabkan umat Islam dari seluruh dunia Islam telah keluar membuat bantahan dari satu benua ke satu benua, bermula dari Tangier (Maghribi) ke Jakarta (Indonesia) dalam demonstrasi menyokong Taufan al-Aqsa.

Begitu juga sokongan diplomatik, politik, ekonomi, dan media yang menyatakan sokongan dari negara-negara Afrika dan Amerika Latin serta laungan demonstrasi yang lantang di Amerika Syarikat dan Eropah yang menyuarakan bantahan terhadap dasar negara-negara yang bersekutu dengan pakatan Zionis.

Zionis yang bertindak balas untuk menghadapi Taufan al-Aqsa, berserta pasukan tentera Barat yang telah bergabung untuk menyokong mereka adalah pakatan Ahzab moden yang mahu menentang Islam dan menyekat laluannya ke seluruh dunia selepas agama selain Islam menjadi lemah dan ideologi-ideologi yang merosakkan turut gagal. Kebangkitan Islam semakin berkembang di tanah air mereka dan cahayanya sampai di tanah penjajah, lalu menembusi temboknya yang telah runtuh.

Negara-negara Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat cuba menutup kelemahan mereka dalam keganasan di Gaza dengan menghantar bantuan melalui laut atas nama kemanusiaan kepada penduduk Gaza, walaupun mereka tetap menghantar senjata ke negara Israel melalui darat, laut, dan udara dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan kejam berkali-kali ganda.

Amat malang beberapa orang pemimpin negara Islam dan Arab turut membantu dalam penipuan ini dan gagal menyertai jihad bagi menentang pencerobohan Zionis terhadap saudara mereka di Palestin. Berlainan dengan umat Islam yang memiliki kemanisan iman dengan berpegang teguh kepada semangat persaudaraan Islam yang disifatkan oleh Rasulullah SAW:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan mengadu sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6011, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2586, daripada al-Nu‘man bin Bashir. Lafaz bagi Muslim]

Sabda Nabi SAW lagi:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak (sempurna) iman seseorang kalian sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 13, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 45, daripada Anas bin Malik]

Sabda Nabi SAW lagi:

الْمُسْلِمُ أخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Seorang Muslim ialah saudara bagi Muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan tidak mengabaikannya. Sesiapa yang melepaskan hajat saudaranya, Allah akan melepaskan hajatnya. Sesiapa yang melepaskan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melepaskan kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya pada Hari Kiamat.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Mazalim, No. 2442, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al- Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2580, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar. Lafaz bagi Muslim]

Terdapat banyak lagi nas yang membicarakan perihal ini.

Adapun hujah ‘orang-orang yang aneh’ yang membantah operasi Taufan al-Aqsa kerana terdapat penyertaan golongan syiah, sekular, dan lain-lain yang bukan sunni serta golongan kuffar, adalah ditolak kerana sikap melampau dan terkeluar dari jalan yang lurus.

Mereka menyanggah panduan sirah Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan adab ikhtilaf antara Ahli Kiblat yang turut diikuti oleh para ulama’ salaf dan khalaf dalam mendepani perbezaan mazhab dan pendapat. Hal ini demikian kerana, para imam daripada mazhab-mazhab itu saling bersaudara dalam satu persaudaraan, kasih sayang, pengajaran, pembelajaran, dan periwayatan, serta saling memahami dalam bidang ilmu, yang tertulis dalam karya-karya yang muktabar.

Mereka bersepakat dalam berhadapan dengan penguasa yang zalim dan orang-orang kafir yang agresif, di samping mereka meletakkan masalah perselisihan faham, konflik, penyelewengan, bidaah, murtad, dan pertarungan antara satu kaum dengan yang lain dalam kalangan umat yang satu ini sebagai isu dalaman yang merujuk panduan al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah serta kepada Ulu al-Amr (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu! Kemudian, jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Ulu al-Amr itu ialah para pemimpin dan ulama’. Firman Allah SWT lagi:

وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٩ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠
“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya, Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (9) Sebenarnya, orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10)” [Surah al-Hujurat: 9–10]

Memerangi Yahudi adalah lebih penting daripada mengharungi perselisihan dalaman umat Islam, kerana golongan Yahudi ialah orang yang paling memusuhi orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢
“Demi sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhan mereka kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya, engkau akan mendapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesra mereka kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani.’ Yang demikian itu disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.” [Surah al-Ma’idah: 82]

Terdapat hujah hubungan antara orang-orang Islam dengan orang-orang kafir yang mempunyai perjanjian dan kerjasama dalam perkara kebaikan yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah, antaranya ialah firman Allah SWT:

۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi daripada kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya, Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 7–9]

Rasulullah SAW pernah meminta pertolongan daripada pemimpin-pemimpin Musyrikin yang bersekutu dalam beberapa peperangan, seperti Bani Khuza‘ah dan pemimpin Musyrikin yang lain sebelum mereka memeluk Islam, termasuklah mereka yang meninggal dunia pada zaman jahiliah.

Kekufuran adalah satu agama sahaja dalam kalangan kumpulan Ahzab moden yang menentang agama Islam, umat Islam, dan dunia Islam tanpa mengira sebarang perbezaan mazhab antara umat Islam. Mereka adalah golongan yang memusuhi Revolusi Islam di Iran kerana fahaman Syiahnya, menentang kemenangan Hamas secara majoriti dalam membentuk kerajaan di Gaza kerana fahaman Sunninya, serta tidak mengiktiraf pemerintahan Islam di Afghanistan kerana kumpulan Taliban yang bermazhab Hanafi, di samping menggerakkan revolusi yang menghalang kemenangan Islam dalam pilihan raya tanpa mengira perbezaan mazhab di negara Islam.

Jadi, mengapa kita masuk ke dalam permainan mereka terhadap orang-orang Islam? Mereka memecahbelahkan negara-negara Islam serta menyalakan fanatisme dan perang proksi, lalu membekalkan senjata dan tentera upahan agar orang-orang Islam berperang sesama sendiri.

Mereka tidak menerima Republik Islam Iran dan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf negara Israel kerana fahamannya adalah Syiah. Namun, mereka boleh menerima negara Iran semasa zaman sekular Shah Iran serta hubungan dan pengiktirafannya terhadap negara Israel. Mereka tidak menerima Hamas kerana menyokong Syiah Iran, Syiah Iraq, Syiah Yaman, dan Ibadi Oman. Mereka juga tidak menerima kedudukan Türkiye kerana sejarah ‘Uthmaniyyah yang didakwa mereka menjajah Türkiye.

Mereka mentaati Tentera Salib dan penjajah Zionis serta menjadikan kerajaan mereka sebagai kawan dalam politik, ekonomi, pertahanan, keselamatan, dan keamanan, selain mewujudkan pangkalan tentera di tanah air orang Islam.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ … ١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang Mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu! …” [Surah al-Mumtahanah: 1]

Maka, janganlah kalian mengambil manfaat dengan bersikap setia dan mengikuti telunjuk mereka yang dijanjikan kesudahannya paling buruk bersama dengan kaum yang dimurkai Allah. Hal ini demikian kerana, mereka melakukan kerosakan di muka bumi serta membunuh para nabi dan orang-orang yang memerintahkan manusia untuk berlaku adil daripada kalangan para ulama’ dan pemerintah. Mereka juga menyebarkan dosa dan kekejian yang turut serta mengalami kerugian bersama golongan Musyrik dan munafiq.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢
“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (21) Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.” [Surah Ali ‘Imran: 21–22]

Firman Allah SWT lagi:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafiq: Bahawa sesungguhnya, disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafiq) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya, kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]

Negara Israel ialah seperti sarang labah-labah yang lemah, ia akan runtuh dan pecah bersama-sama dengan sekutu-sekutunya. Tentera dan pakatannya adalah pengecut dan tidak akan dapat mempertahankannya. Firman Allah SWT:

لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤
“(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh atau dari sebalik tembok. (Sebabnya), permusuhan antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberikan kebaikan kepada mereka).” [Surah al-Hashr: 14]

Semoga Allah memberkati perjuangan Islam di Palestin dan sekitar Bait al-Maqdis, yang menerangi jalan yang benar dan lurus serta memimpin negara Islam ke arah islah dan tajdid dalam agamanya, mengatasi semua agama yang lain walaupun orang-orang Musyrik membencinya demi menuju janji Allah SWT yang benar:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya, mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (39) Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah.’ Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak di dalamnya. Dan sesungguhnya, Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya, Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami beri mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 39–41]

Firman Allah SWT lagi:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [Surah al-Nur: 55]

Darah yang mengalir di bumi Gaza ialah umpama jerih payah seorang ibu sebelum cukup bulan untuk melahirkan anaknya dan umpama suatu ujian sebelum diberikan ganjaran. Setelah itu, akan datanglah kemenangan yang dijanjikan dalam firman Allah Yang Maha Berkuasa:

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya, ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya, pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” [Surah al-Baqarah: 214]

Maka, maralah dengan keberkatan daripada Allah!
Yang mengasihi kalian,

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Syawwal 1445 / 14 April 2024 – HARAKAHDAILY 14/4/2024

- Advertisement -