Hasrat Dewan Pemuda PAS Selangor jadi kenyataan

Hanif (kiri) dalam majlis pecah tanah bagi mendirikan Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Bandar Rimbayu, Hulu Langat, Selangor pada 31 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA LANGAT: Hasrat Dewan Pemuda PAS Selangor untuk memiliki tanah bagi mendirikan Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor semakin menjadi kenyataan apabila semalam, telah diadakan majlis pecah tanah bagi mendirikan kompleks berkenaan di Bandar Rimbayu, di sini.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin berkata, kompleks berkenaan akan dibina di atas tanah seluas lebih dua ekar dengan kos kira-kira RM1.3 juta. 

- Advertisement -

“Gambaran awal kompleks ini adalah seperti Kompleks PAS Kedah yang terdapat dewan di bawahnya, dengan tinggi beberapa tingkat.

“Kompleks kita ini akan diusahakan untuk menjadi pusat pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan juga pusat pentadbiran semua institusi pendidikan di bawah kita iaitu PASTI, SRITI dan SMITI”, katanya. 

Beliau dalam pada itu berasa tersentuh kerana dapat melibatkan diri di dalam perjuangan mencari dan membeli tanah berkenaan dari peringkat awal lagi. 

Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bakal dibina di atas tanah seluas lebih dua ekar dengan kos kira-kira RM1.3 juta. 

“Awalnya, kita tidak dapat mengambil tanah ini disebabkan beberapa kekangan khususnya kewangan pada awal 2022.

“Selepas setahun, tanah ini masih belum dibeli dan pada ketika itu, keputusan dari ‘task force’ yang diwujudkan bersetuju untuk membeli tanah ini. Jadi pada ketika itu, saya lah orang yang paling gembira sekali”, ujarnya. 

Majlis pecah tanah yang diadakan itu turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, YB Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selaku perasmi; Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Abu Umair Jamaludin; Setiausaha Perhubungan Badan Perhubungan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib; ADUN Hulu Bernam, YB Muiz Mahyuddin yang telah dipilih sebagai ikon perpaduan anak muda Selangor;  dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Ahmad Yunus Hairi. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -