Bimbang pesalah alam sekitar mampu bayar denda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun denda dikenakan terhadap pesalah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ditingkatkan, namun ia dibimbangi tidak memberi kesan yang dapat menakutkan pelakunya.

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, ia kemungkinan terjadi terhadap pesalah-pesalah yang terdiri dari syarikat-syarikat besar dan mampu membayar denda dikenakan walaupun kadarnya tinggi.

- Advertisement -

“Tangga Batu mendapati hampir keseluruhan pindaan dibuat tertumpu pada kenaikan denda dan penalti. Menumpukan perhatian kepada denda dan penalti adalah tidak memadai. Kriteria pencegahan dan pemantauan pencemaran alam sekitar juga perlu dititikberatkan dalam RUU ini.

“Syarikat-syarikat besar yang mempunyai dana yang besar, lebih-lebih lagi sekiranya laba yang bakal mereka perolehi daripada sesuatu projek yang dilaksanakan jauh lebih tinggi daripada denda yang dikenakan walaupun tinggi. Ini membimbangkan kita,” ujarnya.

Akhirnya, kata Bakri, pindaan Rang Undang-undang tersebut dengan menaikkan kadar denda yang dibuat tetap tidak memberi kesan terhadap tujuan asal ianya dipinda iaitu untuk lebih menakutkan para pesalah.

Beliau menyatakan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini sewaktu berbahas bagi Rang Undang-undang Pindaan 2024 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut mengambil contoh terhadap projek penambakan laut secara besar-besaran sedang dilakukan di Negeri Melaka di mana telah memberi kesan terhadap tangkapan hasil laut dan hakisan pantai berhampiran projek.

Jelas Bakri, pihaknya pernah mengadakan diskusi dengan pakar berkaitan alam sekitar dan prosedur Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) berkaitan dengan projek tambakan laut seperti itu.

Menurut pakar tersebut, pihak pemaju perlu memasang pelbagai alat tertentu bagi mengesan atau menghalang sekiranya berlaku perubahan dalam aliran ombak yang boleh menyebabkan berlakunya hakisan pantai.

Tambahnya, pakar tersebut memaklumkan, dengan pemasangan semua struktur yang diperlukan ia pasti dapat mengelakkan daripada berlakunya kesan seperti hakisan pada pantai-pantai berhampiran.

“(Menurut pakar itu) Sekiranya berlaku juga kesan pada pantai-pantai berhampiran, sudah pasti membawa maksud bahawa ada sesuatu (keperluan) yang dilanggar ataupun tidak dibuat oleh pemaju.

“Walaupun kita boleh menjangkakan bahawa pemaju kemungkinan telah melanggar atau tidak melakukan langkah-langkah pencegahan diperlukan, namun orang ramai terutama penduduk yang terkesan tidak mampu membuktikan perkara ini,” ujarnya.

Kerana itu, jelas beliau, kerajaan perlu meningkatkan ketelusan proses EIA dan menjadikan maklumatnya boleh diakses oleh orang awam, NGO alam sekitar dan juga kumpulan berkepentingan serta wakil rakyat.

Katanya, ia boleh dilakukan melalui pengubahsuaian kaedah paparan awam untuk memupuk peningkatan penglibatan orang awam dan penyertaan yang lebih besar daripada pihak berkepentingan. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -