Klinik Kesihatan di Jerlun perlu dibina baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi keutamaan kepada pembinaan baharu Klinik Kesihatan Ayer Hitam di lokasi yang strategik.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, KKM menurut beliau telah mencadangkan tanah tersebut kepada permohonan Jabatan Kesihatan Kedah pada tahun lalu.

- Advertisement -

“Masalahnya, tanah yang dicadangkan itu belum lagi dibuat pengambilan oleh kerajaan dan dijangka dibawa masuk ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya ketika Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, klinik tersebut yang ditubuhkan pada 1945 dan kini telahpun berusia 79 tahun, tetap menerima bilangan pesakit setiap hari dan semakin bertambah dari masa ke semasa.

“Klinik ini dengan keadaan bangunan yang uzur, terlalu lama, saiz bangunan yang kecil dan ruang parkir yang sempit,” ujarnya menerangkan keadaan tersebut.

Katanya lagi, beliau pernah memohon kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini, bagi peruntukan khas untuk kerusi di bahagian pergigian tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Justeru, saya harap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (yang baru) dapat menunaikannya demi keselesaan doktor yang merawat dan keselamatan pesakit yang menerima rawatan,” pohonnya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -