Negara alami krisis tenaga kerja pegawai perubatan

Graf peletakan jawatan doktor kontrak berbanding jumlah tenaga kerja doktor kontrak di Malaysia dari 2027 hingga 2023. (FOTO: CodeBlue/KKM/Profesional Istiqamah)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum memenuhi cadangan nisbah seorang pegawai perubatan kepada 400 pesakit (1:400) untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam.

Profesional Istiqamah dalam  kenyataannya berkata, nisbah untuk pegawai perubatan kepada masyarakat sebanyak 1:400 orang menjelang 2025 sebagaimana ditetapkan kerajaan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sehingga kini nisbah ini tidak dapat dicapai. 

- Advertisement -

“Jumlah pegawai perubatan kontrak yang sedang berkhidmat dalam sektor kesihatan awam adalah sekitar 30,000 orang pada 2023 manakala tenaga pakar adalah sebanyak kira-kira 9,000 sahaja yang berkhidmat dalam penjagaan kesihatan awam. 

“Hampir 70% rakyat Malaysia pula bergantung pada sektor kesihatan awam untuk memenuhi keperluan kesihatan mereka,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, apa yang merisaukan ialah  jumlah pegawai perubatan siswazah atau doktor pelatih yang melaporkan diri mula merosot teruk sejak pandemik Covid-19.

“Purata ambilan pegawai perubatan siswazah pada beberapa tahun kebelakangan ini adalah sekitar 3,000 hingga 4000 orang sahaja. Dalam masa yang sama, jumlah pegawai perubatan yang menerima penjawatan tetap jatuh merudum pada tahun 2023, apabila hampir 1,000 orang tidak melaporkan diri. 

“Tambahan itu, menerusi sesi jawab lisan pada Februari tahun ini, Menteri Kesihatan mendedahkan bahawa sebanyak 54 peratus daripada 100,696 pegawai perubatan telah meninggalkan sektor kesihatan awam pada 2022,” jelasnya.

Perkembangan bahaya sektor kesihatan negara

Menurut Profesional Istiqamah, ini adalah satu perkembangan yang amat membahayakan sektor kesihatan negara. 

“Tenaga kerja pegawai perubatan yang mahir memerlukan tempoh yang lama untuk dilatih,  kira-kira empat hingga lima tahun sebelum menghasilkan seorang pegawai perubatan yang kompeten.

“Kehilangan tenaga kerja seorang pegawai perubatan tetap (medical officer/MO) yang berpengalaman tidak dapat ditampung dengan begitu mudah oleh pegawai perubatan baharu apatah lagi oleh pegawai perubatan siswazah.

“Maka cuba bayangkan jika negara mengalami kehilangan secara besar-besaran kumpulan tenaga kerja ini dalam sektor kesihatan awam. Ia membawa implikasi negatif kepada kualiti perkhidmatan seperti rawatan dan tempoh menunggu di hospital,” tegas kenyataan itu lagi.

Tambah Profesional Istiqamah, pegawai perubatan sedia ada juga akan mengalami beban kerja yang berkali ganda akibat kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan. 

“Maka hal ini akan mendorong lebih ramai pegawai perubatan untuk terpaksa meletakkan jawatan di sektor awam dan berpindah ke swasta kerana faktor beban kerja lebih rendah dan tawaran gaji yang lebih setimpal.

“Masalah yang berlaku pada hari ini di peringkat doktor pelatih dan doktor perubatan akan membawa kesan jangka masa panjang kepada segmen doktor pakar,” katanya

Kenyataan turut berkata, sektor kesihatan awam juga berdepan dengan satu lagi isu iaitu ura-ura berkenaan program Latihan Ijazah Lanjutan (atau Parallel Pathway) iaitu program latihan kepakaran yang dikhabarkan akan diletakkan syarat lebih ketat iaitu perlu mendapatkan biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Parallel Pathway sedikit berbeza dengan latihan kepakaran menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempunyai kuota terhad dan lebih ketat syaratnya seperti perlu mendapatkan biasiswa HLP kerana golongan doktor akan membiayai latihan kepakaran mereka sendiri. 

“Kaedah ini menjadi salah satu sumber tenaga tambahan kepada tenaga pakar kerana doktor yang memilih Parallel Pathway tidak perlu menunggu untuk mendapat biasiswa HLP yag sedia ada terhad. 

“Dalam masa sama, kualiti pakar yang dihasilkan tidaklah begitu berbeza dengan latihan kepakaran menerusi KKM,” jelas Profesional Istiqamah.

Tambah kenyataan itu, antara faktor krisis tenaga kerja pegawai perubatan adalah disebabkan isu kebajikan mereka yang sehingga kini tidak disentuh oleh kerajaan. 

Beban kerja di hospital kerajaan

“Sebelum ini pun, beban kerja di hospital kerajaan telah sedia ada mengalami masalah beban kerja yang tinggi ekoran kekurangan hospital yang dapat menampung pesakit, infrastruktur di fasiliti KKM juga mempunyai masalah tersendiri serta isu bayaran gaji dan elaun yang tidak setimpal dengan peningkatan beban kerja sedia ada. 

“Hal ini ditambah lagi dengan isu pegawai perubatan kontrak yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan.

“Faktor-faktor ini menjadi antara penyumban kepada penghijrahan tenaga kerja ke sektor swasta yang menawarkan gaji yang lebih setimpal serta beban kerja yang lebih seimbang. Faktor beban kerja menjadi antara faktor menolak utama dalam penghijrahan ini,” ujar kenyataan itu.

Justeru Profesional Istiqamah menegaskan, sebuah pelan yang serius dan berpasak kepada keazaman politik yang jitu perlu dilaksanakan. 

“Sektor kesihatan adalah antara sektor yang tidak boleh dikompromi atas alasan kerajaan ingin berjimat.

“Bagi memulihkan sektor kesihatan awam yang memerlukan reformasi besar-besaran dengan meruntuhkan struktur dan budaya lama, dana dan komitmen yang amat besar diperlukan.

“Sebab itu, cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan Awam Malaysia yang pernah diusulkan oleh Perikatan Nasional wajar dipertimbangkan bagi menggerakkan proses rejuvenasi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -