4 pemain Korea Selatan mantap pasukan KDN FC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemain muda kelab K League 1, Daegu FC, Ri-Gwan Kim kini menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC bagi mengharungi musim baharu Liga Malaysia 2024/25.

- Advertisement -

Penyertaan Ri-Gwan Kim melengkapkan empat pemain kelahiran Korea Selatan memperkuatkan pasukan KDN FC bagi menghadapi Liga Super dan Piala MFL tahun ini.

Presiden pasukan terbabit Rozi Muhamad berkata, kemasukan Ri-Gwan Kim diharap dapat memperkukuhkan benteng pertahanan Sang Kijang Emas.

Katanya, kehadiran pemain baharu itu memberi suntikan semangat tiga lagi rakan senegaranya iaitu Ahoe Koo, Bae Kyeong Hwan serta Jung Byung Ju.

“Kami memilih empat pemain berkenaan bukan sahaja untuk bersaing di kejohanan liga di Malaysia, tetapi bagi membolehkan pasukan bawah 23 tahun turut bersaing hebat dengan pencabar lain.

“Ri-Gwan Kim beraksi di posisi tengah. Dia berusia 20 tahun dan merupakan bakat muda dalam Liga Korea.

“Setelah menamatkan karier remaja B-18 Daegu FC, pemain terbabit diserap masuk ke skuad simpanan kelab division 1 Korea Selatan,” katanya di sini.

Menurutnya tiga pemain terbabit menimba pengalaman pertama beraksi di luar Korea Selatan kecuali Ahoe Koo. Koo pernah beraksi di Jepun pada 2018.

Rozi juga berkata, pemilihan mereka dilakukan atas nasihat jurulatih ketika pihak KDN FC berada di Korea Selatan bulan lalu.

“Kehadiran mereka akan menjadikan KDN FC lebih mantap serta berdaya saing menghadapi musim baharu nanti.

“KDN FC akan memiliki lima pemain import pada musim ini sebelum perlawanan pembukaan Liga Super pada Mei hadapan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -