‘Menteri sebut berjuta serangan siber untuk masuk ke sistem PADU’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Defisit kepercayaan rakyat kepada sistem keselamatan itu sendiri yang menjadi punca Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) yang diuar-uarkan oleh kerajaan kurang mendapat sambutan.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ianya bukanlah disebabkan defisit kepercayaan kepada kerajaan yang menjadi punca kurangnya pendaftaran, kerana serangan-serangan siber ini telah menyebabkan rakyat rasa kurang yakin untuk berkongsi data-data peribadi mereka.

“Bayangkan bagaimana menteri sendiri menyebut semalam bahawa dalam masa satu hari berjuta-juta serangan siber yang bertujuan untuk penetrate masuk ke dalam sistem PADU,” ujar beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanakah rakyat boleh yakin untuk mendaftar yang memasukkan semua maklumat mereka seperti keluasan bidang tanah yang mereka ada.

“(Memasukkan maklumat) hartanah dan pelaburan yang mereka ada dan inilah yang menyebabkan rakyat mungkin masih rasa bimbang untuk membuat pendaftaran di dalam program-program seperti ini.

“So saya ingin bertanya kepada kerajaan apa kesudahan projek Be Cyber Smart, kempen keselamatan siber dan Protect 360 yang dilancarkan pada tahun lepas,” soal beliau.

Selain itu tambah beliau, terdapat tiga prinsip yang perlu menjadi keutamaan kerajaan dan tidak boleh diabaikan sama sekali dalam mengendalikan ancaman siber.

“Yang pertama ialah mengutamakan kedaulatan negara. Yang kedua pendekatan berdasarkan risiko (dan yang) ketiga ketelusan dan akauntabiliti. Dan sebarang polisi dan peraturan yang dibuat perlu menjalani proses yang telus dan melibatkan semua pemegang taruh yang berkepentingan,” ujar beliau.  – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -