Perkasakan TVET, wujudkan Akta Gaji Khusus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan satu penyelesaian bagi ketidakseimbangan antara pelajar perempuan dan lelaki di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menggesa penekanan khusus diberi kepada dasar TVET negara serta garis masa pelaksanaannya dan menetapkan fungsi Majlis TVET Negara yang ditubuhkan.

“Kedua, adakah pihak kerajaan juga telah mengkaji dan merancang untuk mewujudkan Akta Gaji Khusus untuk TVET berdasarkan kelayakan individu supaya diberikan pengiktirafan ia setanding dengan kelayakan akademik lain,” tanya beliau.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.

Mohmed Puzi dalam soalan asalnya meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan inisiatif dan pendekatan baharu Kerajaan dalam memperkasakan lagi hala tuju TVET bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional dan teknikal yang berdaya maju di negara ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut sedang berada di dalam kerangka Majlis TVET Negara.

“Dan kita akan melancarkan dasar TVET ini pada 2 Jun tahun ini. Di samping itu, kita juga mewujudkan hanya sebuah saja pusat pengiktirafan kepada TVET supaya tidak timbul kekeliruan dan kecacamerbaan dari segi pengiktirafan.

“Dan ketiganya kita juga melihat dari segi gaji, terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berdasarkan kepada minimum wage ataupun gaji minima tetapi satu tahap yang lebih tinggi yang dicadangkan ialah RM4,000 ke atas.

“Untuk itu secara tidak langsung ini akan menggalakkan pelajar-pelajar masuk ke institusi TVET ni. Dan selanjutnya TVET ni tidak akan dimulakan selepas tingkatan lima sahaja tetapi dimulakan lepas tingkatan tiga.

“Di mana kolej vokasional teknikal dan akan menjadi kepada institusi TVET ini agar mereka akan dapat mengambil diploma dan juga ijazah dua tahun lebih awal kepada rakan-rakan yang lain. Dan ini merupakan satu penggalakan yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan,” kata Zahid. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -