Belon udara panas hiasi langit Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Belon udara panas sempena Pesta Angin Timur 2024 persis di Cappadocia, Turkiye.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, rakyat negeri Perlis berpeluang melihat acara itu yang julung kali diadakan.

“Walaupun tidak berpeluang naik belon udara panas di Cappadocia, Turkiye, kita boleh melihat pemandangan indah ini sempena Pesta Angin Timur tahun ini, memang cantik dengan angin timur yang sejuk di sebelah malam,” ujarnya.

Selain itu, katanya, Perlis berpotensi menjadi lokasi penganjuran aktiviti atau fiesta belon udara panas sekali gus bakal menjadi daya tarikan baharu ke negeri ini.

“Perlis mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi seperti panorama bukit batu kapur dan kehijauan sawah padi melalui pandangan dari udara.

“Antaranya pemandangan di sekitar Bukit Chabang, Banjaran Nakawan dan Lembah Chuping serta kawasan sawah padi di sekitar Arau,” katanya lagi.

Buat julung kalinya belon udara panas dibawa ke negeri ini sempena Pesta Angin Timur 2024 pada 1 hingga 3 Mac, sekali gus menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan malah pengunjung luar.

Kehadiran belon udara panas buat kali pertama juga menarik perhatian penduduk tempatan semasa penerbangan bebas di sekitar Chuping bagi melihat sendiri belon berkenaan dengan lebih dekat lagi. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -