Sunnah perjuangan Islam dilaksana secara berpasukan

- Advertisement -

JASIN: Rasulullah SAW telah memilih seorang Sahabat RA iaitu Abdullah Ummi Maktum yang buta penglihatan untuk dihantar ke Yathrib (Madinah) bagi menjadi guru agama di situ sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Sahabat itu dihantar atas permintaan umat Islam di Yathrib kerana pesatnya kemasukan penduduk memeluk Islam sehingga memerlukan seorang guru agama untuk membimbing mereka di situ.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia bermula dengan enam jemaah haji dari Yathrib yang menerima dakwah Rasulullah SAW pada tahun ke-10 baginda di Makkah hingga ramai kalangan mereka mula menerima Islam.

“Saidina Abdullah bin Ummi Maktum mata tak nampak, seorang buta, tetapi Ahlul Quran, tok guru. Maka bila pergi ke Madinah, beliau ditempatkan di sebuah rumah.

“Dan di situ beliau dan juga dibantu oleh Saidina Mus’ab bin Umair, seorang anak muda, remaja yang telah dibuang oleh keluarganya kerana beriman,” ujarnya.

Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Israk Mikraj di Balai Islam Kampung Seri Minyak di sini, malam tadi.

Tambah beliau, kedua-dua Sahabat itu diberi sebuah rumah yang dijadikan pondok pengajian sehingga rumah itu dipanggil penduduk Madinah sebagai Baitul Qurro, bermaksud rumah pembaca-pembaca Al Quran.

“Dan akhirnya lahir satu generasi pendukung-pendukung Islam yang hebat di Madinah yang setelah mereka itu wujud dan muncul, baru Allah Ta’ala mengizinkan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah,” ujarnya.

Menurut Tuan Guru Zulkifli, perkara itu menjadi panduan bahawa untuk melaksanakan ibadah am seperti menubuhkan negara memerlukan pasukan membantu, berbanding ibadah khas yang boleh dilakukan secara individu.

“Nak menegakkan syariat, orang yang nak menegah daripada minum arak, nak menegah daripada berjudi, memerlukan penguat kuasa, memerlukan kerajaan.

“Memerlukan tanggungjawab diambil oleh masyarakat bagi membuat laporan sekiranya berlaku perjudian dan juga aktiviti atau berzinaan dan sebagainya. Maka ini melibatkan masyarakat,” ujarnya.

Namun, kata beliau, sekiranya masyarakat itu hanya beriman dengan Islam pada ibadah khas sahaja, ia akan menjadikan masyarakat itu tidak ambil kisah terhadap maksiat yang berlaku dalam negara kerana berasa itu tidak ada kaitan dengan mereka.

“Tetapi apabila dia seorang beriman dan faham bahawa pengabdian yang dibawa oleh Islam itu adalah pengabdiannya yang am dan khas, bukan semata-mata khas.

“Memastikan tertegak perkara yang makruf adalah mesti memastikan al-jamaah itu yang berkuasa di bumi Allah. Adapun yang mungkar itu dibersihkan.

“Maka selagi tak ada manusia yang demikian, pelaksanaan ibadah yang am itu tidak akan berjaya dan kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah tidak akan dberikan bantuan yang cukup untuk melaksanakan tugas baginda,” ujarnya.

Jelas beliau, selepas wujudnya masyarakat itu di Madinah barulah Rasulullah SAW diperintah Allah SWT agar berhijrah dan dengan ramainya umat Islam di situ, orang Yahudi tidak berani mengganggu dan mencabar baginda. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -