Era baharu pekerjaan: Manfaatkan AI, big data dan IOT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) perlu berani dan ke depan dalam penggunaan artificial intelligence (AI), big data dan Internet of things (IOT).

Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Ts. Shahronizam Noordin berkata, AI, big data dan iot perlu diambil kira untuk pengurusan dan penilaian risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, begitu juga penggunaan di dalam pembangunan latihan.

- Advertisement -

Imbas beliau, peranan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia umumnya diketahui telah bermula sejak 120 tahun yang lalu iaitu sekitar penghujung abad ke-19.

“Era tersebut banyak fokus kepada keselamatan jentera, sehinggalah kepada era adanya peruntukan Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Walau bagaimanapun akta ini masih banyak juga fokus kepada keselamatan jentera berbanding keselamatan pekerja,” ujar beliau di dalam media sosial miliknya, hari ini.

Menurutnya, keseimbangan keselamatan jentera dan pekerja mula nampak setelah adanya peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Era inilah timbul pelbagai peranan Orang Yang Kompeten (OYK) bagi melaksanakan dan mengurus keselamatan pekerja dan jentera.

“Untuk mendepani era inilah, cadangan mengadakan NIOSH telah dikemukakan oleh Jabatan Kilang dan Jentera kepada Majlis Penasihat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan pada tahun 1985.

“Kabinet telah meluluskan penubuhan institut ini pada tahun 1991 dan pelancaran rasminya telah dibuat oleh YB Menteri Sumber Manusia pada bulan Disember 1992,” tambah beliau.

NIOSH kata beliau adalah sebuah syarikat di bawah tanggungan kerajaan dan penubuhannya bermatlamat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti latihan; pengumpulan dan penyebaran maklumat, kajian dan pembangunan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Bagi mendepani era peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2020 menurut beliau, satu pendekatan dan model yang bersifat futuristik harus diambil kira. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -