Pemuda PAS sokong inisiatif MKI perkasa Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh inisiatif Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas usaha pemerkasaan syariah dalam sistem perundangan negara.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, beliau menyokong segala peranan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri termasuklah dalam mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Ujar beliau, ia bagi mengatasi permasalahan yang timbul serta memastikan peranan dan tugas badan perundangan negeri menggubal undang-undang Syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

“Pemuda PAS juga mengalu-alukan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa Kerajaan untuk membawa Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen pada tahun ini.

“Melihatkan usaha menyempurnakan Draf RUU 355 telah bermula seawal Ogos 2021 serta telah mendapat kelulusan Bahagian Gubalan Jabatan Peguam Negara pada Oktober 2022, tiba masanya perjuangan mengangkat Akta 355 ini dijayakan oleh pentadbiran semasa,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Beliau amat yakin dengan kebijaksanaan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri yang berperanan sebagai payung agama, ketamadunan, kebudayaan dan perpaduan dalam negara Malaysia bagi menyelesaikan polemik yang timbul kali ini.

“Usaha pemerkasaan Undang-undang Syariah adalah usaha besar rentas parti dan pegangan politik. Kejayaan melaksanakan pindaan kepada RUU 355 yang telah sekian lama tidak disemak serta menjelaskan kekaburan dalam bidang kuasa jenayah syariah dan sivil adalah kejayaan besar buat semua umat Islam di Malaysia.

“Justeru, semua umat Islam tanpa mengira parti perlu bersatu hati menyokong dan mendukung usaha merealisasikan aspirasi besar ini demi memartabatkan syiar Islam di Malaysia menerusi kuasa perundangan negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY  20/2/2024

- Advertisement -