Pembangunan Kulim dipacu ke arah wujudkan bandar pintar

- Advertisement -

KULIM: Daerah ini sedang dipacu pembangunannya untuk berkembang ke arah mewujudkan bandar pintar yang mampan melalui inovasi, penggunaan teknologi termaju dan pemeliharaan alam sekitar.

Komitmen tersebut kini sedang dibuka laluannya menerusi jalinan kerjasama strategik antara Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dan HeiTech Padu Bhd yang ditandatangani di Kulim Inn, di sini, semalam

- Advertisement -

Yang Dipertua MPKK, Dato’ Elmi Yusoff berkata, HeiTech Padu memainkan peranan penting dalam kerjasama untuk membawa daerah itu membangunkan pelaksanaan inisiatif bandar pintar yang disesuaikan dengan konteks tempatan.

Kerjasama tersebut merangkumi penilaian persekitaran semasa, penyelesaian mampan dan teknologi terkini dalam meningkatkan taraf hidup bandar serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Tujuh komponen utama yang disenaraikan bagi kerjasama tersebut dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia iaitu ekonomi pintar, kehidupan pintar, persekitaran pintar, penduduk pintar, kerajaan pintar, mobiliti pintar dan infrastruktur digital pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Padu, Salmi Nadia Mohd Hilmey berkata, pihaknya adalah pakar IT yang berpengalaman dalam pembangunan penyelesaian pintar, manakala MPKK mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang perancangan bandar.

Katanya, HeiTech Padu komited membantu MPKK dalam mengenal pasti dan mencadangkan strategi optimum bagi penyelesaian pintar yang relevan untuk penyepaduan ke dalam operasi dan perkhidmatan sedia ada.

Beliau memberitahu, HeiTech Padu telah membangunkan penyelesaian pintar untuk sektor awam dan swasta, sejajar dengan perubahan landskap perniagaan dan trend teknologi pendigitalan global semasa.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, kami telah secara proaktif mencipta penyelesaian pintar untuk meningkatkan proses kutipan cukai dan sewa untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), serta mewujudkan saluran komunikasi yang berkesan dan cekap.

“(Juga) menyelaraskan operasi perkhidmatan kaunter, meningkatkan penyampaian bil dan penyata, dan meningkatkan sektor pelancongan dalam negeri masing-masing. Beberapa penyelesaian pintar seperti penyelesaian parkir pintar dan aplikasi pintar sedang diguna pakai oleh beberapa PBT di seluruh negara.

“Kulim akan berkembang seiring dengan kemajuan teknologi. Bagaimanapun, untuk mencapai status bandar pintar sepenuhnya mungkin mengambil sedikit masa, mungkin sekitar 10 hingga 15 tahun lagi,” ujarnya.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wong Chia Zhen serta Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini Ramli.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -