Bantah, pulau, batalkan konsert Ed Sheeran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konsert Ed Sheeran perlu dibantah sekeras-kerasnya, dipulau dan dibatalkan kerana dikhuatiri boleh membawa pengaruh LGBTQ yang cukup berbahaya dan bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, Ed Sheeran jelas merupakan  individu yang menyokong budaya luar tabie LGBT.

- Advertisement -

“Malah, dia pernah membalutkan dirinya dengan bendera pelangi yang cukup sinonim dengan kelompok LGBTQ ketika mengadakan konsert sebelum ini,” kata  Ustaz Mohd Zarimi dalam satu kenyataan pada hari ini.

Justeru, beliau menyokong dan mendokong penuh pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa agar kerajaan ambil serius pandangan Mufti sebelum benar sebarang acara hiburan termasuk konsert diadakan di negara ini.

“Dr Wan Salim  turut menyeru umat Islam agar pulau serta bantah sekeras-kerasnya sebarang konsert yang bercanggah dengan syariat Islam,” ujarnya.

Sehubungan Dewan Pemuda PAS, menurut Mohd Zarimi, menggesa kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama. 

“Sikap membakulsampahkan pandangan mufti ini menunjukkan PH-BN sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air tercinta ini. Itulah hakikatnya.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital digesa hormati fatwa dan pandangan mufti yang pasti beri pandangan hukum-hakam berkaitan syarak untuk kebaikan dan maslahat umat Islam,” tegasnya.

Mohd Zarimi juga melahirkan kekesalan bahawa kerajaan PH-BN langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap LGBTQ.

“Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS  turut menentang  keras penganjuran konsert band Coldplay sebelum ini yang terkenal dengan pembawaan LGBTQ.

“Namun, mengapa kerajaan Madani seolah-olah tidak serik dengan masih membiarkan artis luar yang terpalit dengan budaya songsang ini datang ke Malaysia?

“Ibarat bapa kencing berdiri, anak kencing berlari. Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian PMX (Perdana Menteri ke-10) yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay.

“Malah lebih mengecewakan, PMX sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia. Adakah kerajaan sedang cuba untuk menormalisasikan sesuatu?” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -