Kelantan tawarkan kursus Bahasa Melayu untuk Selatan Thailand

Nassuruddin di samping delegasi Persatuan Pemimpin Islam Sempadan selatan Thailand yang membuat kunjungan di Kota Bharu, Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menawarkan kerjasama untuk memberikan kursus Bahasa Melayu buat guru-guru terpilih untuk diajar sekolah-sekolah Agama Selatan Thailand.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Nassuruddin Daud berkata, penekanan terhadap kepentingan ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Selatan Thailand perlu diseimbangkan antara ilmu akademik dan agama.

- Advertisement -

“Anak-anak muda di Selatan Thailand juga perlu menguasai Bahasa Melayu kerana ulama-ulama terkemuka selatan Thailand seperti Sheikh Daud Al-Fathoni menulis kitab-kitab dalam Bahasa Melayu. 

“Jati diri Melayu Islam dalam masyarakat selatan Thailand juga perlu diperkukuhkan. Saya berasa amat gembira apabila dikunjungi oleh Persatuan Pemimpin Islam Sempadan selatan Thailand,” katanya.

Terdahulu beliau dikunjungi delegasi seramai 10 wakil Persatuan Pemimpin Islam Sempadan selatan Thailand di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Ahad.

Menurut Nassuruddin, delegasi persatuan berkenaan kagum melihat model pembangunan Islam di Negeri Kelantan.

“Mereka turut meminta nasihat untuk pembangunan masyarakat Islam di lima wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Satun dan Songkhla,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -