Isu Gaza: Indonesia, Sri Lanka selar Kesatuan Eropah

Seorang wanita berjalan melintasi bangunan yang musnah di Kem Pelarian Palestin Maghazi di tengah Semenanjung Gasa pada 1 Feb 2024. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

BRUSSELS: Indonesia dan Sri Lanka menyelar sikap ‘pilih kasih’ (double standard) Kesatuan Eropah (EU) dalam isu serangan Israel di Semenajung Gaza.

Kedua-dua negara menegur EU agar  konsisten dalam pendekatannya terhadap konflik di Gaza seperti yang dilakukan dengan Ukraine, ketika menteri-menteri dari Eropah, Indo-Pasifik dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara berkumpul untuk mesyuara di Brussels pada Jumaat, waktu tempatan, lapor Asia.Nikkei.

“ASEAN dan EU harus berada di barisan hadapan dalam menghormati nilai dan prinsip undang-undang antarabangsa, penghormatan juga harus diterapkan ke Palestin, ke Gaza,” kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dalam forum menteri Indo-Pasifik dan Eropah berkenaan.

- Advertisement -

“Saya percaya bahawa EU dan kita semua, sebagai penyokong teguh menegakkan undang-undang antarabangsa, juga akan mempunyai kedudukan yang konsisten apabila ia berkaitan dengan Gaza,” tambahnya.

Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry pula mengulangi sentimen itu, memberitahu media, “Kami mewakili sentimen Global Selatan, bahawa terdapat sikap pilih kasih EU apabila muncul isu tentang perang di Timur Tengah.”

“Terdapat perdebatan yang berterusan mengenai nasib rakyat Palestin dan nasib Ukraine. Orang ramai bertanya, ‘anda perlu jujur pada hati anda dan melakukan perkara yang betul oleh semua orang kerana semua manusia penting’,” tegas Sabry.

Beliau berkata, ahli politik Eropah yang lebih muda memahami bahawa ‘kredibiliti dunia Barat adalah dipertaruhkan melainkan anda melayan mereka semua secara sama rata’.

Menteri dari lebih 70 negara dan badan serantau Indo-Pasifik dan Eropah berkumpul untuk Forum Menteri EU-Indo-Pasifik ke-3 pada sebelah pagi, diikuti dengan Mesyuarat Menteri EU-ASEAN ke-24 pada sebelah petang.

Walaupun agenda kedua-dua pertemuan itu terdiri daripada kerjasama dan kemampanan kepada keselamatan, serangan berterusan Israel di Gaza berikutan serangan dan penculikan Hamas pada 7 Oktober di Israel membayangi peristiwa itu.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -