MAIPs bantu 12,744 pelajar asnaf di Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berbual semasa berangkat ke Program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Al-Falah, Kolej Matrikulasi Perlis, Arau, di Perlis.
- Advertisement -

ARAU: Sebanyak RM8,920,800 disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pelajar sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sumbangan Bantuan Persekolahan MAIPs menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs) itu  memberi manfaat kepada seramai 12,744 orang pelajar dari golongan asnaf di negeri ini.

- Advertisement -

“Guru Murabbi akan dilantik di setiap sekolah bagi memantau kebajikan pelajar yang kurang bernasib baik ini. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan pada Program Hijrah Minda di Masjid Al-Falah, Kolej Matrikulasi Perlis, di sini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan, Pemangku Pengarah Pendidikan negeri, Hamidi Md Saad dan Pengarah Kolej Matrikulasi, Khairini Subari. 

Dalam pada itu, Mohd Nazim berkata, beliau  mengucapkan terima kasih terutamanya kepada pihak JPNPs yang banyak membantu pihak MAIPs bagi mengenal pasti anak-anak asnaf, sekali gus membantu MAIPs untuk melaksanakan agihan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Setiap  pelajar akan menerima bantuan RM700 termasuk RM300 untuk pakaian sekolah dan alat tulis, RM100 sebagai wang saku kepada ibu bapa pelajar dan selebihnya diuruskan oleh pihak sekolah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti peningkatan akademik dan sahsiah pelajar,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -