Daftar e-Bencana mudahkan bantuan disalurkan

Ilvira Mohd Dasuki dalam majlis makan malam sempena Watiah Lantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Nov 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai khususnya ketua isi rumah yang tinggal di lokasi sering berlaku banjir disaran mendaftar menerusi sistem pengurusan bencana negeri iaitu e-Bencana bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki berkata, e-Banjir diwujudkan bagi melancarkan persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terutama agihan bantuan.

- Advertisement -

Menurutnya, program itu diwujudkan dengan kerjasama Pejabat Bahagian Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri serta Pejabat Pembangunan Negeri.

“Sistem tersebut bakal digunakan di PPS yang akan dibuka apabila berlaku banjir untuk memudahkan operasi membantu mangsa-mangsa banjir untuk di bawa ke tempat berkenaan.

“Selepas berjaya membangunkan sistem e-Bencana, kerajaan negeri menyebar luas penggunaannya ke peringkat komuniti melalui program bengkel dan latihan,” katanya ditemui pada majlis makan malam sempena Watiah Lantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan di sini malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 15 orang dilantik ahli majlis berkenaan mengikut kepakaran masing-masing. Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim.

Menurut Ilvira penggunaan e-Banjir sebagai langkah kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Selain itu bagi memperkemas proses penyaluran bantuan ketika menghadapi bencana kepada mangsa ketika bencana melanda. 

Beliau berkata, pihaknya mengadakan bengkel berkaitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, Kelaboran dan Gual Periok serta kawasan lain yang berisiko banjir.

“Selain itu NGO dan individu yang terlibat dalam penyaluran bantuan ketika bencana turut disarankan mendaftar dan menggunakan aplikasi itu.

“Kami akan menghebahkan mengenai sistem itu di masjid-masjid serta menerusi penghulu, penggawa dan kakitangan Pusat Khidmat DUN,” katanya. 

Pendaftaran boleh dibuat melalui sesawang https://ebencana.kelantan.gov.my/daftar.php atau muat turun aplikasi e-Bencana menerusi telefon pintar. Sementara manual pendaftaran pula  boleh dimuat turun di https://ebencana.kelantan.gov.my/portal/manual.pdf.  HARAKAHDAILY 20/11/2023

- Advertisement -