KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai Skim Perubatan Madani untuk memastikan semua lapisan rakyat tidak tercicir merasai manfaat skim itu.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, kerajaan dalam Belanjawan 2024 memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pelaksanaan skim bantuan perubatan bagi kategori B40.
Katanya, ia menyasarkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya mereka dapat memanfaatkan perkhidmatan percuma dengan mudah dan cepat di klinik swasta yang berdaftar.
“Kapar mahu tahu bagaimana kerajaan dapat pastikan semua rakyat dapat memanfaatkannya, adakah akses dalam talian supaya tiada rakyat kategori B40 yang layak tercicir.
“Selain memastikan ketelusan, adakah segala pengesahan borang permohonan dari rakyat ini boleh disahkan oleh semua ahli parlimen pembangkang,” kata beliau.
Berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini, Dr Halimah turut menyentuh mengenai iklan pemakanan tidak sihat.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tidak mempunyai tindakan yang tegas untuk memastikan iklan gaya pemakanan tidak sihat tidak menular dalam media massa.
Beliau berkata, nasihat dan pendidikan semata-mata tidak memberi kesan yang menyeluruh malah budaya pemakanan yang tidak sihat terus memusnahkan aspek kesihatan rakyat pada hari ini.
“Ia masih tidak berkesan dan tidak menyeluruh bagi menmbudayakan pemakanan yang sihat perlu penglibatan semua kelompok yang merentasi pemikiran kaum, agama dan sebagainya.
“Dahulu penyakit seperti diabetik, darah tinggi dan sebagainya merupakan penyakit orang kaya, sekarang B40 pun ramai kena, ada tindakan kerajaan mengenai iklan seperti ini disekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2023