Elakkan isu aerotrain KLIA berulang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) meminta kerajaan menyatakan langkah intervensi untuk memastikan isu kontrak perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak berulang lagi.

“Tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan berhubung isu kelalaian dalam penyelenggaraan aset, yang kita tahu itu adalah permasalahan ini menjejaskan nama Malaysia di mata dunia,” katanya ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Beliau turut meminta kerajaan menyatakan secara terperinci jumlah peruntukan pembaikan dan pembinaan kompleks di pejabat sistem peralatan Jabatan Laut dari segi skop lokasi, skop kerja dan sistem yang ditambahbaik.

Katanya, peruntukan penambahbaikan itu meningkat sebanyak dua kali ganda.

“Apakah anggaran ini melibatkan kerja-kerja naik taraf terminal dan jeti penumpang dan kargo bagi Kuala Kedah dan Kuala Perlis,” katanya.

Di samping itu, beliau meminta kerajaan menyatakan status terkini projek perolehan 10 set perkhidmatan tren elektrik (ETS) berjumlah RM574 juta dan perolehan 12 set three-car komuter utara berjumlah RM297 juta.

Katanya, projek tersebut sedang berjalan namun, masih tidak ada kata muktamad sama ada pembelian terus atau melalui perolehan tender mahu pun proses sewaan.

“Persoalan saya, berapakah set yang sudah dibeli atau disewa? Adakah peruntukan tahun ini merupakan suntikan dana kepada projek ini, atau ada penambahan rolling stock Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sektor KTMB yang lain.

“Apakah ini juga membabitkan pembelian coach tambahan bagi ETS yang menjadi pilihan utama pengangkutan awam dari Utara ke Kuala Lumpur dan ini akan.. ditekankan juga oleh Yang Berhormat Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan selepas ini,” katanya.

Selain itu, Khairil Nizam memaklumkan bahawa penjualan harga tiket kapal terbang dan keretapi berteraskan kepada penetapan harga produk berdasarkan faktor luaran, termasuk permintaan pasaran semasa, perubahan bekalan dan juga sempadan harga.

Namun, katanya, perkara ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mereka mengambil kesempatan dan meletakkan harga yang melambung tinggi.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah pihak kementerian bersetuju sekiranya harga tiket pengangkutan awam ini disilingkan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan agar meneliti semula projek menaik taraf infrastruktur Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (SZB) di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi sebagai semak dan imbang.

“Kita mendengar kebimbangan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail dalam Business Times, berkenaan projek naik taraf ini akan ‘cannabalised’ KLIA Terminal 1 kerana SZB akan menjadi regional aviation hub untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Persoalan saya, apakah kajian kebolehlaksanaan telah dilaksanakan untuk projek naik taraf ini? Apakah telah dilaksanakan libat dan urus dengan taruh-taruh terbabit termasuklah Malaysia Aviation Group (MAG) untuk menjelaskan situasi ini dan mendapat solusi menang-menang,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -