Kaji kesahihan kisah lagenda dan mitos

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mencadangkan kerajaan berusaha mengkaji kesahihan kisah lagenda dan mitos yang diceritakan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menurutnya, ini berikutan terdapat maklumat yang tidak tepat dalam kisah lagenda dan mitos berkenaan.

- Advertisement -

“Saya mencadangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, mengadakan kerjasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia untuk mengkaji kesahihan maklumat berkenaan,” katanya ketika bertanya soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat turut bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menetapkan tema pada tahun ini untuk dipaparkan kepada masyarakat seperti kekeluargaan, kerukunan dan perpaduan.

Sementara itu, beliau meminta penjelsan kementerian, sama ada bercadang memberi insentif kepada pempengaruh media sosial yang mempunyai banyak masa dengan masyarakat dan mempunyai maklumat mendalam berbanding kementerian.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan universiti tempatan bagi mengkaji ketulenan kisah lagenda dan mitos.

“Insya-Allah, saya percaya kita dapat menghasilkan dokumentari dan cerita yang benar mengenai ketulenan kisah lagenda mitos,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2023

- Advertisement -