DMPS sedia salur maklumat SKSSR buat suri rumah 

Majlis Taklimat Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri (SKSBS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Masjid Asmaul Husna, Kampung Tinosa 2, Sandakan, Sabah, pada hari ini, 7 Nov 2023.
- Advertisement -

SANDAKAN: Dewan Muslimat PAS Sabah (DMPS) menerusi Lajnah Pekerja dan Penggunanya bersedia menyalur maklumat terutama kepada suri rumah, agar celik tentang hak-hak perlindungan dan kebajikan yang mereka boleh perolehi menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, atas kesedaran bahawa suri rumah adalah satu entiti penting dalam pembangunan keluarga, maka golongan tersebut harus diberi perlindungan daripada sebarang kemalangan dan kecederaan.

- Advertisement -

“Perlindungan suri rumah adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan surirumah sebaik mungkin, dan mereka akan dengan senang hati melaksanakan tanggungjawab seharian untuk keluarga tanpa rasa rendah diri dan yakin”.

“Faedah Perubatan yang diperolehi suri rumah sangat membantu melayakkan mereka perolehi kelayakan wad  kelas kedua ketika mereka terpaksa ditempatkan di wad dan ini menjamin keselesaan pencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri (SKSBS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Masjid Asmaul Husna, Kampung Tinosa 2, Sandakan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid; Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna, DMPN Sabah, Aznah Tandek yang juga Pengarah program taklimat berkenaan; serta tidak ketinggalan Pengerusi Masjid AsmaulHusna, Jeffri Ambo.

Dalam majlis taklimat yang dihadiri penduduk kampung Tinusa 2 yang terdiri dari golongan bekerja sendiri dan suri rumah, wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, dengan hanya serendah RM120 setahun, suri rumah layak memperolehi hampir enam jenis Faedah perlindungan Bencana Domestik dan keilatan yang termasuklah faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Majlis diakhiri dengan pek barangan dapur kepada 15 orang asnaf yang telah dijemput khas menghadiri taklimat tersebut. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -