Harga cetak senaskhah al-Quran RM500?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta penjelasan kerajaan berhubung isu senaskhah al-Quran yang dicetak berharga RM500.

“Jika dilihat dalam buku anggaran Belanjawan 2024, tiada peruntukan yang dikeluarkan pada tahun 2023 namun dibawa pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM10 juta.

- Advertisement -

“Adakah jumlah cetakan dikekalkan seperti yang diucapkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023, iaitu sebanyak 20,000 naskhah.

“Jika ya, 20,000 naskhah bermakna RM10 juta ini, harga satu Al-Quran ialah sebanyak RM500. Saya mohon penjelasan daripada menteri, jenis apakah al-Quran yang dicetakkan dengan harga sebanyak satu naskhah sebanyak RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Idris yang juga Naib Presiden PAS juga meminta penjelasan kerajaan berhubung peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang dikurangkan sebanyak RM36 juta kepada RM33,415,200 pada 2024.

“Umum mengetahui kita sentiasa dilanda dengan banjir, tetapi peruntukan pada tahun ini dikurangkan. Pada tahun 2023 sebanyak RM36 juta, tahun 2024 diturunkan kepada RM33,415,200 sedangkan musibah berlaku berterusan dan tiba-tiba peruntukan Nadma dikurangkan sebanyak RM2,584,800.

“Ini satu perkara yang saya rasakan perlu untuk mendapat penjelasan kerana berlaku musibah macam tempat saya selalu berlaku ribut dan banjir yang melibatkan kerosakan harta benda.

“Maka saya nak bertanya kepada Nadma, bagaimanakah tuntutan yang boleh secara tuntas dibuat oleh mangsa kepada kerajaan atau Nadma untuk mendapat peruntukan ini dan pada masa sama, kita dapat melihat apabila peruntukan ini dikurangkan, maka sudah tentu menyukarkan mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -