Belanjawan 2024: KUSKOP digesa wujudkan mekanisme pemantauan

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) digesa mewujudkan mekanisme pemantauan dalam belanjawan 2024.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) dalam cadangannya berkata, ia adalah khusus melibatkan inisiatif pemulihan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya.

- Advertisement -

“Adakah kementerian bercadang untuk mewujudkan mekanisme pemantauan khas khususnya melibatkan inisiatif PMKS dalam belanjawan 2024 bagi memastikan golongan usahawan kecil mendapat mafaat yang sepenuhnya. 

“Ini termasuk peruntukan RM1.6 bilion berbentuk nilai kemudahan pinjaman dan jaminan untuk usahawan PMKS, bumiputera bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing mereka,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga menimbulkan persoalan berkaitan usaha meningkatkan produk PMKS ke peringkat yang lebih tinggi.

“Setakat ini, bagaimanakah usaha untuk mengembangkan produk PMKS ke peringkat antarabangsa dan bagaimana inisiatif sedia ada dapat membantu usahawan,” katanya.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Bersepadu PMKS (SMEIPA) diwujudkan sebagai platform pelaporan daripada kesemua kementerian dan agensi yang terlibat dalam pembiayaan dan pembangunan PMKS.

“Ini merupakan salah satu mekanisme kita untuk memantau pelaksanaan program yang dilaksanakan oleh agensi dan kementerian berkaitan.

“Mereka akan melaporkan sejauh mana pelaksanaan bajet yang telah diperuntukkan kepada kementerian dan agensi menerusi SMECorp Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -