KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menamatkan pemberian subsidi dan harga kawalan ayam akan memberi kesan berantai kepada produk makanan.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, produk makanan yang dihasilkan daripada ayam dijangka berlaku peningkatan harga tanpa ada harga siling.
Katanya, penamatan pemberian subsidi dan harga kawalan ayam yang bermula hari ini tergesa-gesa dilaksanakan kerajaan ketika rakyat berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Rakyat akan pikul beban apabila subsidi ditarik balik dan harga akan ditentukan di pasaran terbuka.
“Sedangkan sebelum ini acap kali berlaku kenaikan harga ayam biar pun masih barangan kawalan. Dan apabila tidak lagi dikawal rakyat akan berdepan kesukaran berganda,” katanya di sini.
Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November ini.
Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan penjualan ayam akan berada di bawah harga siling selepas subsidi dimansuhkan.
Mohd Zai juga berkata, kerajaan sewajarnya mengawal harga makanan asas termasuk ayam ketika harga beras dan gula meningkat ketara di pasaran sejak lebih sebulan lalu.
Begitu juga katanya pelaksanaan rasionalisasi diesel tahun hadapan akan menambah lagi bebanan kehidupan rakyat.
“Penamatan subsidi diesel menyebabkan keseluruhan harga bekalan makanan asas akan meningkat kerana melibatkan kos penghantaran.
“Selain itu kejatuhan ringgit juga akan menyumbang peningkatan harga makanan yang diimport,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!