Zionis dan sekutunya menentang Islam yang berjuang

- Advertisement -

“JIKA tidak dapat membuatkan umat Islam meninggalkan Islam, maka yang penting bagaimana umat Islam tidak mengamalkan syariat Islam.”

Itulah mafhum kalam Christian Snouck Hergronje, orientalis Belanda yang terkenal dengan usahanya masuk Islam dan mengkaji Islam bagi mengalahkan Kerajaan Islam Acheh.

Apa yang boleh difahami daripada ayat orientalis yang amat terkenal ini adalah dasar sebenar penentangan musuh Islam terhadap Islam.

Islam sekadar ritual dibolehkan. Islam yang berjuang adalah dilarang. Kerana mereka tahu, Islam yang berjuang sebagaimana kehendak asali wahyu adalah satu kekuatan yang tidak akan terkalahkan. 

Islam yang berjuang iaitu Islam sebagai ad-Din akan menelan segala jenis kekuasaan dan kekayaan yang sekian lama mereka bina.

Klip video di beberapa sekolah yang menunjukkan aksi pantomin oleh guru dan anak murid berpakaian seperti pejuang kemerdekaan Palestin telah dipertikai kumpulan politikus daripada DAP dan PKR dan Gerakan.

Pengisian Minggu Solidariti Palestin di sekolah sebenarnya tiada masalah dan tiada isu langsung. Jika diperhatikan kesemua kenyataan mereka mempunyai objektif yang lebih kurang sama:

“Membatalkan Minggu Solidariti Palestin ini.”

Padahal, aksi pantomin yang ditunjukkan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan minggu tersebut. Tapi hanya kerana ada unsur menyokong HAMAS, terus disuruh agar program ini dibatalkan. 

Paling kurang, ada dua nilai besar yang boleh dan telah disemai dalam kalangan kanak-kanak menerusi program ini.

Pertama, ia mengajar nilai empati.

Sistem pendidikan kita sering dikritik dengan konotasi terlalu berat dan tidak berperanan dalam membentuk peribadi dan pelajar minda kelas pertama.

Sedangkan mendidik pelajar supaya cakna dengan krisis kemanusiaan Antarabangsa sebesar isu Palestin adalah perkara yang dapat menyemai nilai empati dan kecaknaan terhadap isu semasa terhadap murid sekolah.

Jika diperhatikan di negara-negara maju, solidariti terhadap isu antarabangsa adalah antara aktiviti wajib yang dibuat.

Bukankah itu satu perkara yang baik jika kita ingin mengejar status negara maju? Menerusi warganegara minda kelas pertama.

Kedua, ia mengajar erti perjuangan.

Bersimpati dengan perjuangan pejuang Palestin menanam sifat melawan dalam diri generasi muda. Kita perlu faham, dalam urusan muamalat dan siasah dunia, tidak semua perkara perlukan pendekatan diplomasi, tidak semua perkara perlukan pendekatan keras.

Ada masa kita berlembut, ada masa kita perlu tegas mempertahankan hak kita. Begitulah yang perlu difahami dalam konteks perjuangan kemerdekaan. Berapa ratus negara yang memerlukan korban nyawa dan darah demi melawan penjajah yang jahat.

Ia mengajar kita menjadi bangsa bermaruah, saat dunia berdiam diri serta usaha negara jiran seakidah bacul bercumbu dengan Zionis laknatullah, bukankah hanya melawan menjadi pilihan?

Zionis bukan sekadar menjajah, tetapi genosida dan penghapusan total Palestin dan umat Islam. Penentangan pula akan memastikan Palestin tidak hilang dari ingatan umat manusia.

Inilah nilai yang perlu difahamkan kepada kanak-kanak generasi baru, kegilaan dan dosa sebesar manakah yang telah Zionis buat sehinggakan rakyat Palestin terpaksa mengangkat senjata setelah 30 tahun cuba berunding secara aman.

Angka korban terkini telah mencecah 10,000 nyawa, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak yang sama umur dengan mereka!

Salahkah mengajar mereka erti pengorbanan dan perjuangan yang terpaksa dihadapi rakan-rakan mereka di Palestin?

Krisis Palestin bukan hanya soal manis-manis memburu keamanan sahaja, tetapi ia juga soal kezaliman dan kebinatangan Zionis yang jelas bermatlamatkan penghapusan bangsa Arab Palestin.

Rundingan yang menjadi alat permainan Antarabangsa hanyalah ubat bius yang cuba melemahkan, menidurkan dan melembutkan taring perjuangan Palestin.

Mungkin ada yang cuba mengaitkan dengan kemerdekaan  di Tanah Melayu yang kononnya dicapai menerusi cara damai. Maka, janganlah dibawa imej dan sentimen penentangan mujahidin Palestin ke sini kerana realiti setempat yang tidak sesuai.

Peristiwa merdeka sememangnya dibuat menerusi rundingan keamanan. Tapi janganlah kita buat-buat lupa dengan penentangan keras seawal 1511 oleh pewaris Kesultanan Melaka bagi membebaskan bumi ini.

Tok Janggut, Dol Said, Mat Saleh, Syarif Masahor, Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau. Tokoh kemerdekaan ini berjuang dengan cara apa jika tidak menerusi penentangan keras?

Inilah mesej yang penting perlu diajarkan kepada generasi baharu negara. Perjuangan itu ada banyak bentuk, bukan hanya rundingan demi rundingan demi rundingan. 

Rundingan yang tidak menguntungkan diri kita, adalah perbuatan orang bodoh dan tidak bermaruah! Rundingan hanya terpakai apabila kedua-dua pihak sedia berunding.

Tambahan lagi, bukankah di sekolah sudah ada guru-guru yang membimbing? Bodoh benarkah guru-guru itu mengajar perkara keganasan dan ekstremisme kepada murid-murid? Sudah tentu tidak!

Sekarang terzahir jelas sudah wajah sebenar DAP dan politikus yang lain akan fobia mereka terhadap perjuangan umat Islam.

Mereka boleh bersatu menyatakan penentangan mereka terhadap pejuang Islam. 

Tetapi bagaimana pula dengan umat Islam? Masih dibelenggu najis politik sempit?

UTHMAN CHE AZIZ – HARAKAHDAILY 1/11/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0d8sxpHnaVE21bqLUcy56BV9dDB9s5GNebCQGAjZUXthWgZ7nJUdnVCT6nkPDJG7ol&id=100064377081728&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -