Gaza: Zionis Israel bunuh 1,354 orang awam Palestin

Visual menyayat hati orang ramai melihat jenazah keluarga dan saudara mara masing-masing yang menjadi mangsa korban kekejaman Zionis Israel di Gaza, Palestin pada hari ini, 12 Okt 2023 (FOTO: WhatsApp Abu Yaqin)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Hanya orang awam yang menjadi sasaran kejam Zionis Israel yang menyerang bandar raya Gaza yang masuk hari keenam, menjadikan jumlah rakyat Palestin terkorban kini mencecah 1,354 orang.

Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Gaza mengumumkan pada hari ini Khamis (12 Okt), selain rakyat Palestin yang dibunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak, oleh Israel telah meningkat kepada 1,354, jumlah yang cedera pula mencecah 6,049.

- Advertisement -

“Sepanjang pagi dan petang hari ini, sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh setakat ini apabila Israel memperhebatkan serangan udara ke atas enklaf pantai yang dikepung sepanjang pagi dan petang Khamis,” ujar kenyataan itu, lapor The New Arab.

Sementara di Kem Pelarian al-Shatei, salah satu kawasan paling padat penduduk di Gazam sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan udara Israel ke atas bangunan kediaman di situ pada hari ini, disahkan oleh warga Palestin di Gaza, Abu Yaqin kepada HarakahDaily melalui WhatsApp yang turut menyertakan foto-foto menyayat hati mangsa-mangsa korban termasuk kanak-kanak dan bayi.

Selain itu, kementerian menyatakan bahawa 17 rakyat Palestin terbunuh apabila pesawat pejuang Israel menyerang kediaman mereka  di utara Gaza.

Orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa dalam runtuhan bangunan yang runtuh akibat serangan udara Zionis Israel di Kem Pelarian al-Shatei, Gaza pada hari ini, 12 Okt 2023 (FOTO: WhatsApp Abu Yaqin)

Kementerian kesihatan memberi amaran bahawa kakitangannya mungkin tidak menyediakan rawatan perubatan untuk mangsa dalam beberapa hari akan datang melainkan mereka menerima lebih banyak bekalan perubatan.

Untuk hari keenam berturut-turut, kawasan pinggir pantai yang terkepung itu telah mengalami serangan udara kejam dan ganas Israel, terutamanya menyasarkan rumah kediaman dan membunuh ratusan orang awam.

Israel mendakwa bahawa ia memerangi Hamas, kumpulan Islam yang memerintah kawasan pantai secara paksa, tetapi rakyat Palestin di Gaza merintih bahawa hanya orang awam yang membayar harga konflik yang belum pernah terjadi sebelumnya antara Hamas dan Israel.

Tangkap layar video seorang lelaki yang menangis sedih ketika menunggu anaknya yang koma dan dirawat di hospital di Gaza selepas rumah mereka dibom oleh tentera Zionis Israel. (FOTO: Tangkap layar/video Abu Yaqin)

Akibat serangan Israel yang berterusan, lebih 300,000 penduduk  kehilangan tempat tinggal dan menjadi gelandangan; dan tidak berdaya tanpa mempunyai sebarang peluang untuk bertahan daripada akibat serangan itu, lapor institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beroperasi di Gaza.

Lebih memburukkan keadaan ialah keputusan Israel untuk mengetatkan sekatan ke atas Gaza dan menghalang makanan, air, elektrik, ubat-ubatan dan bantuan daripada memasuki  bandar raya itu, yang nurut undang-undang antarabangsa, ini adalah jenayah perang.

Akibat ‘sekatan penuh’ Israel itu, satu-satunya loji janakuasa elektrik telah dihentikan sejak petang semalam, Rabu (11 Okt)  kerana kehabisan bahan api. 

Kekurangan bekalan elektrik menyebabkan motor terhenti mengepam air ke rumah, dan dengan itu, rakyat Palestin di Gaza pada masa ini tidak mempunyai akses kepada air. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -