Penduduk Palestin tentang penyelesaian dua negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 mengenai penyelesaian dua negara membabitkan Palestin.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang menyokong kaedah penyelesaian itu tanpa mengambil kira suara penduduk Palestin.

- Advertisement -

“Mereka (rakyat Palestin) sendiri tidak bersetuju dengan penyelesaian dua negara.

“Kita sangat kesal apabila kenyataan ini disebut oleh Perdana Menteri ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 baru-baru ini,” katanya ketika sesi perbahasan usul Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri dilaporkan membuat kenyataan mendukung penuh hak sah rakyat Palestin terhadap negara Palestin yang merdeka dengan mewujudkan dua negara, Palestin dan Israel, hidup berdampingan secara damai dan aman berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kota.

Ahmad Tarmizi menyuarakan perasaan kesal jika proses penyelesaian dua negara dibawa oleh Malaysia.

“Kita yakin seluruh rakyat Palestin, sama ada mereka berada dalam negara atau yang menjadi pelarian di negara sekitar, mereka sangat tidak bersetuju.

“Mereka (akan) memastikan bahawa ‘kami perlu kembali ke negara Palestin untuk mengambil kembali tanah-tanah yang telah dirampas’,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -