Ambil tindakan terhadap jurugambar buat viral

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat memanggil dan menegur jurugambar Perdana Menteri yang bertanggungjawab menularkan gambarnya dikatakan menghisap vape baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan itu penting sebagai pengajaran terhadap jurugambar terbabit selepas dirinya terbukti tidak menghisap vape dalam Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Katanya, imejnya perlu dibersihkan selepas menerima pelbagai kecaman berikutan penyebaran gambar itu di media sosial.

“Adakah Speaker (Yang di-Pertua) telah memanggil jurufoto tersebut. Saya percaya jurufoto profesional tidak akan ambil gambar hanya sekeping dan apakah ada semakan melalui CCTV (kamera litar tertutup) dibuat?

“Ini imej saya tercemar…sebab itu saya minta juga Speaker kalau terbukti saya tidak hisap vape, teguran perlu diberi kepada orang luar, tidak kira sama ada jurufoto itu dan yang dibenarkan masuk supaya jangan buat viral,” katanya.

Mantan Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Peraturan Mesyuarat Seksyen 9 jelas membuktikan tindakan jurugambar terbabit adalah salah kerana menyebarkan gambar sekali gus mencetuskan fitnah.

Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula menyifatkan tindakan jurugambar terbabit seperti paparazi yang sengaja mahu mencari salah Ahli Dewan Rakyat tertentu.

“Adakah jurufoto yang mengambil gambar secara salah itu menjadi paparazi dalam Parlimen ini, tengok siapa buat salah dengan unsur fitnah. Saya harap Parlimen memberikan satu petua adakah akan memanggil jurufoto yang saya difahamkan telah mengaku melakukan kesalahan ini,” katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, sebarang gesaan Ahli Parlimen perlu dikemukakan menerusi usul.

“Apa-apa perkara tidak boleh diminta pertimbangan semula kecuali dengan dikeluarkan usul sendiri,” katanya merujuk Peraturan Mesyuarat Perkara 43. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -