Masalah ekonomi negara tak akan selesai selagi…

Barisan penceramah dan peserta program forum, Menoktahkan Kemiskinan Realiti Atau Khayalan anjuran Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada hari ini, 5 Okt 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah ekonomi negara  tidak akan pernah selesai selagi sistem kewangan tidak berubah.

Pakar ekonomi Islam bebas Universiti Malaya (UM), Prof Mohd Nazari Ismail berkata, sistem kewangan negara ini telah menyebabkan pelbagai masalah berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi juga negara-negara antarabangsa.

“Apabila kita melihat sendiri Amerika Syarikat yang dikatakan mempunyai ekonomi yang besar tetapi masih ramai rakyat menghadapi pelbagai masalah kos sara hidup; dan (masalah) ini juga berlaku di Malaysia,” katanya. 

- Advertisement -

Menurutnya, sistem ekonomi negara ini yang berlandaskan hutang berasaskan keuntungan menyebabkan berlakunya peningkatan inflasi; dan kos sara hidup rakyat semakin meningkat.

“Maka, sistem kewangan perlu diubah lagi dan kita tidak mempunyai pilihan lain,” katanya dalam program forum, Menoktahkan Kemiskinan Realiti Atau Khayalan anjuran Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah mantan CEO Bank Muamalat, Dato’ Abdul Manap Abdul Wahab; Pengarah Eksekutif J-PAL Southeast Asia, Lina Marliani; CEO Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan; dan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz, Prof. Dr. Suhaiza Hanim Mohamad Zailani.

Sementara, menyentuh tentang masalah yang berlaku apabila kerajaan mempunyai hutang dalaman melebihi RM1.3 trilion, Mohd Nazari berkata, hal itu turut menyumbang kepada pelbagai masalah kos hidup di negara ini.

Tambah beliau, perkara tersebut telah berlaku di negara Jepun yang mana walaupun negara tersebut dikatakan mempunyai ekonomi yang kuat tetapi menghadapi pelbagai masalah kos sara hidup yang amat tinggi.

Mohd Nazari (kiri) dan Abdul Manap.

“Malah, Jepun menghadapi masalah kadar kelahiran yang rendah yang mana ramai dalam kalangan mereka tidak mampu berkahwin akibat kos kehidupan yang tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Manap tidak menafikan hutang negara hari ini hanyalah hutang dalaman tetapi tetap memberikan pelbagai masalah dalam ekonomi negara ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan boleh membayar semula hutang-hutangnya dengan hanya mencetak lebih banyak mata wang tetapi tetap mempunyai kesan yang buruk iaitu inflasi.

“Apa yang berlaku di negara Jepun berpotensi untuk berlaku di negara ini selagi sistem kewangan masih tidak diubah.

“Di sinilah pentingnya usaha-usaha tiada penghujung dalam membetulkan masalah sistem kewangan negara yang sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!