
TIDAK dinafikan, bahawa di awal penggal ini ramai yang bertanya, ada yang skeptik dan tertunggu-tunggu, bagaimanakah pelaksanaan semak dan imbang akan berlaku tanpa kehadiran pembangkang, dan ada yang lebih nakal mempersalahkan keberadaan Dewan ini tanpa pembangkang.
Hujahan saya mudah:
Pertama, manakah kita tahu pilihan yang akan dibuat oleh rakyat pengundi seramai hampir 950,000 di seluruh Negeri Terengganu ketika menyertai pilihan raya. Pengundi tidak bersalah membuat pilihan hati nurani mereka dalam negara yang bebas merdeka.
Kedua, elemen check and balance di zaman serba baharu ini, tentunya tidak sama dengan zaman lampau. Di waktu kini, semua rakyat adalah menjadi pemberi cadangan, ulasan, kritikan dan sebagainya menerusi medium baharu yang wujud – siang dan malam 24 jam sehari, 365 hari setahun.
Ketiga, sistem semak imbang sudah sedia berlangsung juga, sejak sekian lama menerusi undang-undang yang ada, pengasingan kuasa executive – legistalif – judiciary, kewujudan peraturan kewangan, peraturan pentadbiran, sistem audit kewangan dan pentadbiran sama ada secara dalaman atau pihak ketiga, dan berbagai kaedah lagi.
Keempat, iaitu semak dan imbang yang lebih memberi kesan mendalam jika kita berpegang teguh padanya, adalah apabila melihat tugas sebagai satu amanah, ada dosa – pahala, tegur menegur antara sesama anggota pentadbiran dan rakan sekerja, dan ada balasan di akhirat pada yang ingkar amanah ini, dan ada imbuhan berada dalam rahmat Allah, di hari yang tiada lagi kuasa melainkan kekuasaan Kerajaan Allah S.W.T.
YAB DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 5/10/2023











