Nilai ringgit jatuh paling rendah angkara riba

Muhammad Zahid

KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai mata wang ringgit terkini adalah bukti yang amat kukuh bahawa sistem kewangan negara ini masih berasaskan riba.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetori Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata kejatuhan nilai mata wang negara iaitu 1 Dolar Amerika (AS$) bersamaan RM4.71 merupakan yang paling rendah berlaku berbanding dengan sebelum ini.

Advertisement

“Kejatuhan nilai mata wang mana-mana negara termasuklah Malaysia hanya memberikan kekuatan kepada Dolar AS dan ini membuktikan masih ada lagi sistem ekonomi yang berasaskan riba yang mana sesebuah negara membuat keuntungan di atas kemerosotan ekonomi negara-negara lain,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Tambah beliau, setiap mata wang negara ini adalah berasaskan Dolar AS melalui Perjanjian Bretton Woods tahun 1945 dan diikuti dengan perjanjian Petrodollar 1973 yang mana ia hanya menjamin kekuatan mata wang Amerika Syarikat itu sendiri.

“Maka apa yang terjadi ialah apabila mata wang negara-negara lain semakin turun nilainya akibat inflasi, maka ia akan menyebabkan wujudnya persepsi pelbagai pakar ekonomi yang menyatakan lemahnya mata wang negara-negara tersebut.

“Namun, apa yang mereka gagal lihat ialah ia berpunca daripada penciptaan wang berasaskan hutang yang turut diamalkan oleh Amerika Syarikat sendiri melalui surat hutang berbentuk Bon Perbendaharaan AS (US Treasury Bond),” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan menjadikan Dolar AS sebagai penanda aras untuk ekonomi dunia menyebabkan seolah-olah ekonomi Amerika Syarikat yang terkuat di dunia walaupun kebenaran yang berlaku adalah sebaliknya.

“Sesiapa sahaja yang mempersoalkan sistem ekonomi yang berlaku hari ini akan dihina dan dianggap tidak berilmu oleh pelbagai kononnya ‘pakar ekonomi’ itu sendiri walaupun mempelajari ekonomi syariah,” katanya lagi.

Ini kerana menurut beliau, sistem ekonomi yang dipelajari oleh golongan sebegini bukan lagi berasaskan al-Quran sepenuhnya semata-mata tetapi lebih kepada sistem ekonomi berasaskan riba yang diajarkan oleh pakar-pakar ekonomi barat.

Menyentuh tentang usaha yang boleh diambil dalam menghadapi masalah sebegini, beliau menyatakan ekonomi berasaskan al-Quran dan Sunnah perlu difahami semula secara keseluruhan dan diterapkan secara berperingkat.

“Perkara sebegini termasuklah dengan berhijrah ke sistem ekonomi yang lebih baik yang mana seseorang itu tidak lagi berhutang dengan apa pun institusi riba walaupun digelar syariah,

“Sementara, kerajaan perlu melakukan reformasi kewangan dengan mengembalikan semula sistem wang soverin yang mana hak mencipta wang dipindah dari bank-bank swasta dan diserah semula menjadi hak negara secara berperingkat.

“Kerajaan perlu melakukan sedemikian kerana seseorang pemimpin akan disoal di akhirat bukan kerana kesukaran melakukan sedemikian tetapi usaha yang tiada penghujung dilakukan bagi membetulkan keadilan kewangan berasaskan al-Quran dan Sunnah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2023