Tuntut timbalan menteri jawab projek jalan raya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai projek wishlist (perkara yang diharapkan berlaku) di Kelantan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang tidak dijawab menyebabkan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff bangkit mencelah penggulungan Timbalan Menteri Kerja Raya di Dewan Negara, hari ini.

Ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-12, sebelum ini, beliau membangkitkan tiga projek jalan raya yang jika tidak dilaksanakan akan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di Kota Bharu.

- Advertisement -

Apabila Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad kelihatan akan mengakhiri penggulungannya tanpa menyentuh projek wishlist itu, Dr Wan Martina bingkas mencelah.

“Pembangunan di Kota Bharu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutama apabila siap nanti bangunan Persekutuan (Kompleks Gunasama Persekutuan di Tunjung).

“Jadi, saya mohon penjelasan kerana masih belum ada jawapan. Kalau tak sempat jawab di sini, saya mohon jawapan bertulis,” katanya.

Abdul Rahman berjanji akan menjawab persoalan itu secara bertulis kerana kekangan masa.

Tiga projek yang menjadi harapan kerajaan Kelantan yang masih belum mendapat status kelulusan ialah pertama, menaik taraf Jalan FT 207 Jalan Pasir Mas-Salor, dari Simpang Batu Empat di Kota Bharu hingga ke Simpang Salor di Pasir Mas (Jalan Tunjong) yang bernilai RM652,568,406.00

Kedua, menaik taraf laluan D110 dari laluan Tiong ke Pasir Tumboh, Kota Bharu yang bernilai RM314,034,317.40 dan ketiga, pembinaan jalan dalaman utama, pembangunan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu bernilai RM130,000,000.00.

Kegagalan melaksanakan projek berkenaan akan menyebabkan kesesakan teruk di Tunjong dan Kota Bharu yang dianggarkan lebih 3,000 kenderaan pada suatu masa akan terlibat dalam kesesakan lalu lintas. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -