Andalusia Travel teruskan inisiatif bantu B40 tunaikan umrah

Md Daud (kanan) dan Ida Riswana dalam majlis Pelancaran Umrah Rahmah CSR Andalusia di Petaling Jaya, Selangor pada hari ini, 13 Sep 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah ternama, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) meneruskan inisiatif murni menawarkan  pakej Umrah Rahmah bagi sesi September dan Oktober 2023, dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan (B40) menunaikan umrah di Makkah.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Dato’ Md Daud Che Ngah berkata, pakej umrah rahmah berkenaan adalah satu langkah positif yang diteruskan oleh syarikat itu dalam membantu golongan kurang mampu dan B40 bagi merealisasikan impian mereka untuk menunaikan umrah buat buat kali pertama.

- Advertisement -

“Pakej ini dinamakan rahmah kerana harganya jauh lebih rendah daripada biasa. Ini bukan soal untung atau tidak, yang penting kita menjemput orang yang setakat mana dia mampu untuk menunaikan umrah. 

“Kita kena sedar golongan B40 nak pergi haji pun susah, namun dengan pakej umrah ini, kami akan jamin hotel ada, tiket ada, makanan lengkap semuanya, tetapi pada harga yang mampu dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pelancaran Umrah Rahmah CSR Andalusia di reruai Andalusia di Sunway Pyramid Convention Centre, di sini, hari bersempena Pameran Haji, Umrah & Pelancongan Islam (AITEX) yang berlangsung dari 13 hingga 15 September 2023 di lokasi sama.

AITEX 2023 merupakan acara pelancongan yang bertaraf antarabangsa melibatkan pemain industri pelancongan dari seluruh ASIA dalam mempromosikan Pelancongan Islam, Haji dan Umrah, dengan jalinan kerjasama bersama Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA), Global Islamic Tourism Organization (GITO) dan Santai Travel.

Turut hadir ialah Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris. 

Menurut Md Daud lagi, pakej umrah rahmah bertujuan membantu golongan B40 dan golongan kurang berkemampuan supaya boleh menunaikan umrah sama seperti mereka yang berkemampuan pergi setiap tahun. 

“Ini adalah kerana jika ada pihak yang membantu, impian mereka akan tercapai untuk menunaikan umrah walaupun sekali dalam seumur hidupnya.

“Jadi, ini peluang yang sangat baik untuk mereka supaya lebih adil untuk mereka dari golongan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Ida Riswana pula berkata, pakej ini melibatkan pengurangan harga antara RM1,300 sehingga 1,500 yang mana terdapat dua jenis pakej yang ditawarkan.

“Pakej Rahmah ada dua jenis, iaitu bermula dengan harga RM5,590 dengan menggunakan penerbangan transit; manakala penerbangan terus komersial bermula dengan harga RM5,990.

“Kalau tanpa Pakej Rahmah, harga asal untuk pakej RM5990 adalah pada harga RM6,990, manakala Pakej Rahmah RM5,990 adalah pengurangan daripada harga asal iaitu RM7,390,” ujarnya.

Tambah beliau, dari segi perbezaan dengan pakej biasa, ia hanya terletak pada jarak antara hotel di Makkah yang sedikit jauh, namun dari segi kemudahan dan layanan menunaikan umrah lain,  tetap sama seperti pakej-pakej yang lain.

Dari segi kuota, Ida turut memaklumkan bahawa tiada jumlah yang ditetapkan, sebaliknya pendaftaran akan dibuka selagi tiket penerbangan masih ada.

Program Pakej Rahmah ini dijayakan dengan kerjasama anak syarikat Andalusia yang terdiri daripada Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd, Magbul Travel & Tours Sdn. Bhd., Mahabbaten Travel & Tours Sdn Bhd, Labbaik Travel & Tours Sdn. Bhd., Haneen Travel & Tours Sdn. Bhd., Andalusia Pharmacy Sdn Bhd, Andalusia Tijarah Sdn. Bhd. dan Andalusia Food Industries Sdn. Bhd. – HARAKAHDAILY  13/9/2023

- Advertisement -