Filem Mat Kilau, ‘tunggang agama’, ‘tunggang Melayu’

- Advertisement -

Ingatkah lagi dengan filem Mat Kilau? Filem pecah panggung yang diterbitkan pada 2022 itu ditutup dengan dialog penghujung oleh Mat Kilau yang berbunyi: “Orang Melayu tidak akan kekal mulia dengan adat, kesultanan dan budaya semata-mata. Tapi kita akan kekal mulia kerana akidah jika berpegang teguh dengan Islam. Di situlah terletak kemuliaan orang-orang Melayu yang sebenar.”

Begitu dahsyat mesej yang disampaikan, sehingga ia boleh dikira menjadi titik perubahan politik perjuangan Melayu beralih kepada politik Melayu-Islam. 

- Advertisement -

Tidak ada lagi ruang pemisahan antara agama dengan urusan dunia, ataupun dikenali  sebagai ideologi sekularisme. 

Politik Malaysia sudah memasuki fasa pasca-Sekularisme, yang mana pihak kerajaan mahupun pembangkang kedua-duanya memperjuangkan kepentingan Islam dan agama dalam pentadbiran. Hakikatnya, ini adalah satu perkembangan yang baik.

Penonton filem arahan Syamsul Yusof itu pastinya terkesan dengan dialog akhir yang disampaikan oleh watak Mat Kilau itu.

Buat golongan yang berfikrah (memikirkan tentang bahaya) sekularisme, mereka akan terkesan dengan betapa pentingnya akidah dan keislaman seseorang untuk menjadikannya seorang yang mulia. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat: 13).

Buat golongan yang sudah berfikrah Islam dan mendapat tarbiah Jemaah, perkara itu sudah tentunya menguatkan lagi semangat mereka untuk istiqamah berada di jalan ini. 

Mereka adalah golongan yang sudah lama cekal memperjuangkan Islam melalui pelaksanaan undang-undang Syariah dan Hudud, serta pemerkasaan Mahkamah Syariah.

Justeru, kedua-duanya sudah semestinya  mendapat manfaat daripada mesej yang disampaikan dalam filem Mat Kilau.

Sejak kemerdekaan lagi, perjuangan Melayu telah diangkat oleh pemimpin-pemimpin tempatan, terutamanya daripada parti politik Umno. 

Namun, keikhlasan Umno mula diragui oleh rata-rata masyarakat Melayu akhir-akhir ini, atas sebab gaya hidup sesetengah pemimpin parti itu yang serba elit.

Gaya hidup yang mewah, amalan penghayatan Islam yang kurang mendalam serta budaya politik wang adalah masalah kronik yang dapat dikesan oleh pemimpin dan pengikut UMNO sejak sekian dahulu. 

Bukan semua, sudah tentunya. Namun, sebahagian yang mengamalkan itulah yang mewarnai kepimpinan Umno di beberapa-beberapa buah cawangan.

Dalam senario politik Malaysia, gelaran ‘tunggang agama’ sudah mula mengembang selaras dengan perkembangan pengaruh politik Islam, walaupun kebenaran gelaran tersebut tidaklah dapat dipastikan kesahihannya. 

Namun, apabila Umno  menggunakan perjuangan Melayu, dan dalam masa yang sama membina kekayaan atas jalan politik, mengapa masyarakat tidak memanggil mereka sebagai ‘tunggang Melayu’?

Hakikatnya, tidak ada kayu ukur bagaimana mahu menilai sama ada seseorang itu tunggang agama ataupun tidak.

Dek kerana itulah, sentimen politik masyarakat mula beralih dari politik Melayu kepada Melayu-Islam, kerana tingkah laku Umno yang kelihatan sukar berubah dan kekal menggunakan agenda perjuangan Melayu yang sekular suatu ketika dahulu. 

Realitinya, perjuangan Umno dahulu pernah berselang-seli antara sekular ataupun tidak sekular, namun masyarakat sudah tidak mahu melayan karenah UMNO lalu memilih parti yang lebih konsisten perjuangan Islamnya. 

Masyarakat melihat atas bukti sikap Umno ini, tanpa asas agama Islam yang abadi dalam sanubari orang Islam, orang Melayu akan hilang ‘kekuatan’ yang datang daripada tuhan.

Benarlah kata watak Mat Kilau di penghujung filem tersebut: “Wahai saudaraku Allah adalah kekuatan kita, untuk mencari kekuatan carilah Allah!” – HARAKAHDAILY  5/9/2023

- Advertisement -